PETALING JAYA: Teruja dengan sambutan hangat yang diberikan memberikan seribu satu kemanisan buat penyanyi, Aizat Amdan apabila lagu baharunya, Hadiahkan Duka Kepadamu diterima ramai.
Jejaka berusia 34 tahun ini berkata, tiada apa yang lebih menggembirakan selain dapat memberikan senyuman kepada peminat yang sentiasa menantikan lagu baharu daripadanya sejak dahulu.
“Setiap kali mahu menghasilkan produk baharu, ada beberapa perkara bermain di fikiran termasuklah pertanyaan, adakah lagu baharu ini akan diterima baik oleh mereka atau sebaliknya.
“Tapi apabila melancarkan sahaja lagu ini Ramadan lalu, sambutan yang diterima begitu baik daripada semua pihak. Hilang segala gundah apabila lagu ini mula disukai oleh peminat serta dimainkan oleh stesen radio,” katanya.
Hadiahkan Duka Kepadamu merupakan lagu ciptaan sepenuhnya oleh Ajai. Lagu berentak balada ini turut dijadikan runut bunyi untuk drama Kerasnya Takdir yang disiarkan melalui slot Akasia, TV3.
Menariknya, drama lakonkan Amira Rosli dan Redza Rosli itu mendapat sambutan baik dalam kalangan peminat sejak mula ditayangkan beberapa minggu lalu.
Bagi Aizat, apabila Hadiahkan Duka Kepadamu menjadi runut bunyi untuk drama, ia memberikan banyak kelebihan untuk produk berkenaan diterima dengan lebih cepat seterusnya menangkap halwa telinga pendengar lain.
“Saya gembira apabila orang mula mengetahui lagu ini sedikit demi sedikit. Ada dalam kalangan peminat yang terkejut apabila mengetahui lagu ini dinyanyikan oleh saya.
“Ada yang beranggapan lagu ini dinyanyikan oleh penyanyi baharu dan tak kurang juga yang jatuh cinta kali pertama mendengarkannya. Semua itu memberikan keterujaan kepada saya,” ungkap penyanyi yang popular dengan lagu Hanya Kau Yang Mampu ini lagi.
Bercerita kerjasama dengan Ajai pula, Aizat bertemu beberapa kali dengan komposer itu bagi mendengar sendiri lagu berkenaan.
Menariknya, dia sendiri jatuh cinta saat demo lagu berkenaan diperdengarkan kepadanya.
Memandangkan ini merupakan kali pertama mereka bekerjasama, pastinya banyak perbincangan dilakukan demi memastikan kelancaran proses rakaman selepas itu.
“Pastinya saya teruja memandangkan ini kali pertama kami bekerjasama. Ajai sendiri memang seorang komposer yang berpengalaman luas dan sudah menghasilkan sejumlah lagu yang banyak.
“Sebagai penyanyi, saya mahu sampaikan lagu ini sehabis baik. Sejujurnya saya menjadikan lagu ini buah tangan baharu yang akan diminati oleh pendengar seperti lagu-lagu terdahulu,” tambahnya lagi.
Hadiahkan Duka Kepadamu merupakan terbitan Inisiatif Seni Kreatif (ISK) dengan kerjasama Alternate Records dan lagu diedarkan oleh Indigital Music.