SUNGAI PETANI: Gangguan bekalan air yang berlaku di daerah ini sejak petang semalam menyebabkan penduduk berebut membeli air mineral sehingga kehabisan stok.
Selain menyerbu kedai untuk mendapatkan stok air mineral dan cuba mencari punca air semula jadi untuk mendapatkan bekalan utama itu, banyak premis perniagaan yang berasaskan makanan terpaksa ditutup hingga menjejas mata pencarian pengusahanya.
Tinjauan mendapati, ekoran pembelian panik air mineral bermula sejak tengah hari kelmarin, rata-rata premis perniagaan runcit di sini didapati kehabisan stok.
Malah, beberapa pengguna yang ditemui mengakui harga air mineral semua saiz didapati mengalami kenaikan antara 20 sen hingga 40 sen sebotol berbanding harga biasa sebelum ini.
Seorang peniaga kedai makan, Maimunah Yop, 48, berkata, sejak petang kelmarin dia terpaksa menutup perniagaannya di Taman Ria Jaya kerana ketiadaan air.
“Jika masalah bekalan air ini berlarutan lama tentunya menjejaskan punca pendapatan kami yang tidak tahu bila gangguan ini akan pulih,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.
Seorang pekerja kilang di Kawasan Perindustrian Ringan, Taman Ria Jaya, Mohamad Halim Hassan, 20, berkata, dia terpaksa ‘meronda’ di beberapa buah kedai untuk membeli air mineral bagi kegunaan keluarga dan rakan sekerjanya di kilang mereka.
“Memang kali ini sukar untuk mendapatkan bekalan air mineral bersaiz 500 milliliter (ml) atau satu liter ekoran banyak kedai kehabisan stok kerana pelanggan melakukan pembelian panik.
“Jika sempat dibeli pun tidak sebanyak yang kita mahukan sebaliknya dijual secara runcit dengan alasan orang lain pun memerlukannya juga,” katanya.
Sementara itu penduduk di Taman Ria Jaya terpaksa menjadikan paip bekalan air SADA di kawasan kilang berdekatan rumah mereka sebagai punca untuk mendapatkan air.
Seorang penduduk yang mahu dikenali sebagai Kak Yati berkata, dia dan rakannya tidak mempunyai pilihan bagi mendapatkan bekalan air yang terputus sejak petang semalam.
“Kami tidak buat persediaan simpan air kerana gangguan bekalan ini tidak diuar-uarkan awal dan sejak semalam kami kehabisan stok simpanan. Kebetulan paip SADA di kawasan ini mampu memberikan air walaupun dalam kuantiti sedikit kerana sekurang-kurangnya boleh digunakan untuk ke tandas dan mandi-manda anak-anak kecil kami.
“Apatah lagi cuaca panas melampau ketika ini menyebabkan mereka perlu mencari punca air untuk digunakan. Bagi ahli keluarga yang ramai, air diperolehi daripada paip bekalan SADA ini amat bermakna untuk kegunaan seharian,” katanya.
Terdahulu, SADA dalam kenyataan memaklumkan, sebanyak tiga buah daerah iaitu Kuala Muda, Kulim dan sebahagian Baling akan mengalami gangguan bekalan air disebabkan penurunan mendadak paras sungai yang berpunca daripada kerosakan pintu baraj Sungai Muda.
Kejadian luar jangka itu mengakibatkan pengoperasian Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Petani/Pinang Tunggal dan LRA Kulim Hi-Tech terpaksa dihenti tugas buat sementara waktu sehingga paras sungai kembali stabil.
Situasi ini menyebabkan gangguan bekalan air tidak berjadual membabitkan anggaran 252,000 akaun yang meliputi pengguna di Sungai Petani, Bedong, Pantai Merdeka, Kulim, Lunas, Kuala Ketil dan beberapa kawasan utama lain. – UTUSAN











