AADK lancar produk jenama Suka, sasar jualan RM500,000 tahun ini - Utusan Malaysia

AADK lancar produk jenama Suka, sasar jualan RM500,000 tahun ini

TUANKU Syed Faizuddin Putra Jamalullail (dua dari kanan) diiringi Sutekno Ahmad Belon (kiri) berkenan bagi melakukan gimik perasmian Pelancaran Jenama dan Logo Suka di Puspen Bukit Chabang, Padang Besar, Perlis. -UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG BESAR: Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) melancarkan jenama dan logo produk keluaran Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) dikenali sebagai Produk Sokongan Untuk Kepulihan Anda (Suka).

Pelancaran jenama baharu itu adalah merupakan satu daripada sembilan komponen terdapat di dalam Model i-Pulih AADK membabitkan Latihan Kemahiran dan Vokasional.

Ketua Pengarah AADK, Sutekno Ahmad Belon berkata, inisiatif bagi pelancaran jenama itu adalah salah satu usaha bentuk sokongan dan terapi kepada klien mereka bagi pengekalan kepulihan sepanjang hayat.

“Bagi pelaksanaan ini, klien AADK didedahkan dengan ilmu kemahiran berasaskan empat bidang iaitu pertanian, perkhidmatan, pembuatan dan penternakan,” katanya selepas pelancaran jenama dan logo Suka di Puspen Bukit Chabang, di sini, hari ini.

Pelancaran jenama baharu itu disempurnakan oleh Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Dalam pada itu, Sutekno berkata, penjenamaan logo ini juga bertujuan bagi membina satu identiti dalam mempromosikan dan memperkenalkan hasil keluaran produk Puspen ke seluruh negara.

“Antara produk Suka yang telah dihasilkan setakat ini adalah membabitkan bidang seperti pertanian, kimpalan, kulinari, jahitan dan pelbagai lagi,” katanya.

Di samping itu, Sutekno berkata, menerusi pelancaran jenama itu, AADK mensasarkan nilai jualan berjumlah RM500,000 bagi tahun ini dan peningkatan jualan kepada RM1 juta untuk tahun berikutanya.

Tambahnya, jenama baharu produk itu juga dilihat mampu menyokong kebolehpasaran pekerjaan klien di samping mengurangkan risiko penagihan semula sekali gus memberi keyakinan terhadap kemampuan mereka untuk kekal pulih.

“Inisiatif ini dapat memberi sokongan kepada klien sebagai persediaan dari segi kemahiran dan pengalaman sebelum menempatkan diri dalam industri serta masyarakat selepas tamat menjalani Program Rawatan dan Pemulihan Dalam Institusi (RPDI).

“Kita berharap orang ramai juga akan memberi sokongan memandangkan setiap pembelian mereka dapat membantu klien untuk memperkasakan ekonomi selepas keluar dari Puspen untuk menjalani kehidupan seperti masyarakat biasa,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya