KUANTAN: Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) menanam sebanyak 4,000 anak pokok pisang tanduk dan nangka menerusi Projek Penanaman Pisang Berkelompok bertempat di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) Gambang, di sini.
Ketua Pengarah AADK, Sutekno Ahmad Belon berkata, projek penanaman secara berperingkat bermula Januari lalu itu melibatkan 30 klien PUSPEN Gambang.
Katanya, projek penanaman yang diusahakan di atas tanah seluas 4.451 hektar membabitkan kos sebanyak RM40,000 di bawah akaun Amanah AADK.
“Projek ini sebahagian daripada modul rawatan pemulihan yang kita laksanakan dalam institusi di seluruh negara. Di PUSPEN Gambang kita pilih program penanaman pisang, jadi kita akan ajar klien kita teknik dan kaedah penanaman pisang yang betul.
“Kita juga mengambil mereka yang profesional untuk bantu klien bermula proses merawat tanah, menanam anak pokok sehingga ke peringkat penjagaan setiap pokok seterusnya pemasaran,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian kuarters dan projek tanaman pisang berkelompok serta majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri PUSPEN Gambang di sini.
Tambah Sutekno, mereka turut merancang menanam sebanyak mungkin pokok pisang di PUSPEN Gambang dan hasilnya akan dijual di bawah jenama Sokongan Untuk Kepulihan Anda (SUKA) milik AADK.
“Kita nak bagitahu siapa yang membeli produk SUKA ini, dia menyokong kepulihan klien ini kerana salah satu faktor klien kekal pulih adalah ekonomi. Kita nak terapkan elemen ini dan bagi mesej kepada orang awam bantulah mereka untuk pulih,” katanya.
Dalam pada itu beliau berkata, pihaknya akan menjadikan PUSPEN Gambang yang berkeluasan 40 hektar itu sebagai sebuah pusat latihan vokasional AADK.
“Rundingan dengan Pengarah PUSPEN Gambang dan ibu pejabat serta beberapa jabatan kerajaan sedang dilaksanakan. Kalau boleh kita hendak mereka (agensi kerajaan) membantu kita untuk adakan sijil kemahiran.
“Ini kerana apabila mereka habis menjalani pemulihan mereka ada sijil dan boleh menyumbang kemahiran di luar,” katanya.
Sementara itu katanya, setiap PUSPEN di seluruh negara kini mempunyai tanaman komersial seperti sayuran, nanas, koko, kelapa, cendawan dan rock melon, selain ternakan lembu, kambing serta ayam kampung.
“Kita mahu setiap PUSPEN ada satu kawasan yang unik di mana mereka boleh menjadi hub pengeluaran makanan dan tawarkan bukan setakat untuk klien kita belajar, tetapi hasilnya kita boleh tawarkan kepada penduduk sekitar,” ujarnya. – UTUSAN










