584 golongan profesional dan berpendidikan tinggi

80,000 penagih dadah sintetik, 584 golongan profesional dan berpendidikan tinggi

SUTEKNO AHMAD BELON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Seramai 584 penagih dadah sintetik dikesan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) adalah dalam kalangan mereka yang dianggap profesional dengan mempunyai latar pendidikan tinggi Ijazah Sarjana Muda sehingga Ijazah Doktor Falsafah (PhD).

Trend penagihan dadah jenis sintetik atau Amphetamine-Type Stimulants (ATS) itu dilihat amat membimbangkan apabila jumlah golongan profesional berkenaan meningkat 29.8 peratus berbanding pada tahun sebelumnya.

Penyalahgunaan dadah itu turut ‘merosakkan’ golongan remaja apabila seawal usia 13 tahun sudah dikesan terjebak dengan najis itu meliputi 86.3 peratus dalam kalangan mereka berumur sehingga 18 tahun daripada jumlah 79,816 penagih pada tahun 2021.

Memuatkan artikel berkaitan…

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Pengarah AADK, Sutekno Ahmad Belon berkata, seiring dengan peningkatan penggunaan teknologi, penagih dadah tidak perlu lagi ke ‘port’ untuk mendapatkan bekalan, bahkan mereka boleh mendapatkan bahan terlarang itu melalui pesanan secara e-hailing atau khidmat penghantar barangan bergerak.

Apatah lagi katanya, dadah jenis ini juga mudah disorok dalam bentuk yang sukar dikesan pihak berkuasa seperti dalam bungkusan gula-gula.

“Walaupun penagih dadah sintetik ini kelihatan normal seperti individu lain secara fizikalnya, namun, ia boleh mengakibatkan penagih itu menghidap sakit atau gangguan mental.

“Mereka juga mempunyai sumber pendapatan sendiri bagi menampung keperluan membeli dadah, mempunyai kediaman sendiri, mampu menguruskan diri dan tidak perlu mengasingkan diri untuk tinggal di ‘port’ dadah biasa,” katanya di sini baru-baru ini.

Menurut Sutekno, trend pengambilan dadah sintetik antara faktor kebanyakan penagih tidak lagi menagih di kawasan terpencil seperti di ‘port’ atau sarang dadah biasa seperti di bawah jambatan, lorong-lorong gelap atau semak.

Sebaliknya, mereka kini lebih cenderung melakukan tabiat buruk di rumah atau kawasan persendirian berbanding di kawasan terbuka dan situasi itu amat membimbangkan kerana aktiviti secara tersorok ini sukar dihidu pihak berkuasa.

“Hal ini dibuktikan melalui operasi penguatkuasaan oleh AADK apabila seramai 10,234 orang penagih dadah ditangkap di rumah pada tahun 2021 berbanding 4,029 orang penagih dadah ditangkap di kawasan luar rumah atau tempat awam.

“Bagaimanapun, jumlah tangkapan rendah penagih di luar rumah pada tahun tersebut kerana kekangan faktor penularan Covid-19 yang merencatkan aktiviti pengesanan penagih dadah,” katanya.

Selain itu, beliau menjelaskan, penagih dadah sintetik secara fizikal tidak kelihatan seperti tipikal penagih dadah organik atau tradisional yang kusut masai dan cengkung tubuh badannya selain cenderung mengasingkan diri daripada keluarga dan masyarakat.

Dalam hal ini, pihaknya menyeru semua pihak untuk tidak mengambil langkah berdiam diri dan menyembunyikan kes penagihan dadah yang berlaku di dalam rumah masing-masing.

Ini kerana katanya, tindakan itu akan membahayakan bukan sahaja keluarga, malah, memberi kesan kepada kejiranan khususnya dalam aspek kesejahteraan dan keselamatan.

Mengikut rekod sehingga Mac lalu, secara keseluruhan, seramai 70,000 orang klien sedang mengikuti Program Rawatan dan Pemulihan Dalam Komuniti (RPDK) dan Program Rawatan dan Pemulihan Dalam Institusi (RPDI) melalui Model i-Pulih AADK.

“Berdasarkan anggaran, setiap seorang penagih, terdapat empat hingga enam ahli keluarga yang sengsara kesan daripada penagihan dadah. Ini bermakna kira-kira 3.3 juta rakyat Malaysia sengsara akibat aktiviti penagihan dadah.

“Ahli keluarga tidak harus malu dan menyembunyikan permasalahan dadah dalam kalangan keluarga. Perkara itu perlu dilaporkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan sewajarnya,” katanya.

Dalam pada itu, Sutekno memberitahu, pengembangan teknologi serta kreativiti pembekal dadah dalam memastikan bekalan sampai kepada penggunanya menjadi punca berlakunya penagihan di dalam rumah.

Malah, substan atau dadah ini mudah diperoleh secara dalam talian pada harga yang sangat murah, antaranya tembakau (rokok), alkohol dan inhalan seperti gam, cecair peluntur, cecair pembersih, pelarut cat, gasolin dan bahan-bahan spray.

“Eksperimentasi atau perasaan ingin mencuba oleh anak-anak terhadap bahan-bahan itu akan menyebabkan pengambilan dadah yang lebih bahaya.

“Trend ini amat membimbangkan dan perlu dibendung segera. Justeru, pada tahun ini, AADK menggerakkan kempen ‘Pencegahan Dadah Bermula di Rumah’ bagi mengajak setiap ahli keluarga terutamanya ibu bapa untuk lebih komited dalam melindung anak-anak daripada terlibat dengan penyalahgunaan dadah,” katanya.

Selain itu, AADK menggandakan perkhidmatan secara dalam talian menerusi Hotline Helo AADK 1-800-22 AADK (2235) dalam tempoh 24 jam selama tujuh hari kepada orang awam bagi menyalurkan maklumat atau aduan berkaitan penagihan dadah.

Antara strategi lain pengesanan penagih dadah di dalam rumah adalah melalui kaedah Pemerkasaan Profiling Orang Yang Disyaki (OYDS) dengan mewujudkan pangkalan data penagih dadah. – UTUSAN

INFO
——
⦁ 79,816 atau 64.8 peratus penagih salah guna dadah jenis ATS (2021).
⦁ 86.3 peratus penagih berusia antara 13 hingga 18 tahun.
⦁ 74.8 peratus penagih belia berumur antara 19 hingga 39 tahun.
⦁ 584 penagih berpendidikan tinggi – Ijazah Sarjana Muda sehingga PhD.
⦁ 10,234 orang penagih dadah ditangkap di rumah (2021); 10,640 orang (2022).
⦁ 4,029 orang penagih dadah ditangkap di kawasan luar rumah atau tempat awam (2021); 11,496 orang (2022).
⦁ 60 peratus penagih dadah tinggal bersama keluarga.
⦁ 70,000 orang klien sedang mengikuti Program RPDK dan RPDI melalui Model i-Pulih AADK.
⦁ 3.3 juta rakyat Malaysia sengsara akibat kegiatan penagihan dadah.
⦁ 8,594 klien PUSPEN (2022) – 6,055 (belia); 2,397 dewasa; 142 (remaja).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini