500 penduduk Long Pasia terputus hubungan luar - Utusan Malaysia

500 penduduk Long Pasia terputus hubungan luar

KAMPUNG Long Pasia berdepan masalah rangkaian telefon dan internet selepas sebuah menara telekomunikasi di kampung itu gagal berfungsi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SIPITANG: Kegagalan menara telekomunikasi beroperasi mengakibatkan kira-kira 500 orang penduduk di Kampung Long Pasia dekat sini terputus hubungan dengan dunia luar sejak Khamis lalu.

Pada masa ini, penduduk terpaksa berjalan kaki dan mendaki bukit selama sejam bagi mendapatkan rangkaian telefon sekiranya perlu membuat panggilan.

Ketua Kampung Long Pasia, Yakub Sim, 57, berkata, jika keadaan itu berlarutan lebih lama, penduduk akan berhadapan dengan masalah sekiranya berlaku kecemasan kerana kampung itu agak terpencil dan ber­ada jauh di pedalaman.

Buat masa ini, penduduk kampung terpaksa berjalan kaki ke kampung sebelah dan mendaki bukit apabila perlu mendapatkan rangkaian te­lefon dan menggunakan internet.

“Keadaan ini berlarutan sejak malam Khamis lalu apabila menara telekomunikasi tidak berfungsi. Kami tidak pasti apa masalah yang menyebabkan ia tidak berfungsi hingga menyebabkan kami terputus hubungan dengan dunia luar.

“Sekarang, kami terpaksa berjalan kaki ke Kampung Long Mio dan mendaki bukit yang tinggi selama sejam untuk mendapatkan rangkaian telefon dan internet dari kampung ber­kenaan bagi berhubung dengan rakan atau ahli keluarga di luar,” katanya.

Menurut Yakub, ketiadaan rangkaian telefon menyukarkan penduduk di sini mengetahui perkembangan di luar ter­utama bagi mengetahui keadaan ahli keluarga yang kini berada di Hospital Queen Elizabeth (HQE), Kota Kinabalu.

Katanya, ketika ini ada dua penduduk dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) HQE maka, ketiadaan rangkaian telefon menyukarkan ahli keluarga mereka untuk berhubung dan mendapatkan perkembangan terkini.

Justeru, beliau berharap pihak berkaitan mengambil maklum tentang masalah penduduk di sini dan segera mengenal pasti punca yang menyebabkan menara telekomunikasi tidak berfungsi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN