GEORGE TOWN: Lebih 250,000 akaun pengguna bekalan air di beberapa daerah di Kedah dan Pulau Pinang terjejas apabila terputus bekalan air sehingga Rabu ini ekoran penurunan mendadak paras air Sungai Muda semalam.
Syarikat Air Darul Aman Sdn. Bhd. (SADA) memaklumkan, penurunan paras air sungai itu berpunca daripada kerosakan pintu baraj Sungai Muda.
“Tiga daerah yang terjejas ialah Kuala Muda, Kulim dan sebahagian Baling. Kejadian luar jangka ini mengakibatkan pengoperasian Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Petani/Pinang Tunggal dan LRA Kulim Hi-Tech terpaksa dihenti tugas buat sementara waktu sehingga paras sungai kembali stabil,” katanya semalam.
Sementara itu Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) memberitahu, penurunan mendadak paras air Sungai Muda di muka sauk Lahar Tiang itu menyebabkan pengeluaran Loji Rawatan Air Sungai Dua (LRA) terjejas.
Katanya, PBAPP menyalurkan air dari Empangan Mengkuang sebagai tindakan kecemasan buat masa ini.
“Bagaimanapun, jumlah air yang disalurkan dari Empangan Mengkuang masih tidak mencukupi untuk menampung penurunan mendadak paras air Sungai Muda.
“Pengguna dinasihatkan menyimpan air dengan secukupnya,” katanya.
Menurut PBAPP, buat masa ini, LRA Sungai Dua tidak dapat beroperasi secara normal untuk merawat air 1,000 juta liter sehari (JLH) untuk dibekalkan ke kawasan Seberang Perai dan kawasan di sekitar negeri ini.
”Buat masa ini, tahap pengeluaran LRA Sungai Dua terhad kepada 600 hingga 650 juta liter sehari sehingga keadaan air mentah di muka sauk Lahar Tiang mencapai simpanan 100 peratus,” katanya.
Dalam pada itu SADA memberitahu, pihaknya akan menggerakkan lori-lori tangki air ke kawasan yang terjejas dengan memberi keutamaan kepada premis kritikal seperti hospital, klinik, pusat dialisis dan upacara pengebumian sepanjang tempoh gangguan bekalan air tidak berjadual ini. – UTUSAN











