KUALA LUMPUR: Datuk Zuraida Kamaruddin memfailkan tindakan undang-undang dalam usaha memohon Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS) mengiktirafnya sebagai Presiden Parti Bangsa Malaysia (PBM).
Zuraida, 65, selaku pemohon memfailkan permohonan kebenaran semakan kehakiman terhadap RoS sebagai responden menerusi Tetuan Ashmeer Ashrof di Mahkamah Tinggi di sini pada 24 Mac lalu.
Dalam permohonan tersebut, bekas Ahli Parlimen Ampang itu memohon deklarasi bahawa tindakan responden mengekalkan Datuk Larry Soon @ Larry Sng Wei Shein sebagai Presiden PBM adalah tidak sah.
Beliau turut memohon perintah mandamus bagi mengarahkan RoS mendaftar atau mengiktiraf pemohon sebagai Presiden PBM berkuat kuasa dari 7 Oktober 2022.
Menerusi afidavit sokongan, beliau berkata menerima surat daripada PBM pada 27 Okt 2022 yang memaklumkan mengenai pelantikan beliau sebagai Presiden PBM berkuat kuasa 7 Okt 2022.
Bagaimanapun Zuraida berkata, beliau telah menerima surat daripada parti berkenaan bertarikh 19 Disember 2022 yang mana Larry mengisytiharkan diri sendiri sebagai Presiden PBM dan menggantung keahliannya.
Bekas Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi itu berkata, beliau mengetahui mengenai pemecatannya daripada PBM melalui portal berita The Star pada 27 Disember 2022, namun tidak pernah menerima sebarang notis, surat atau makluman daripada parti itu mengenai pemecatannya.
“Memandangkan YB (Yang Berhormat) Larry Soon telah dikekalkan oleh responden sebagai Presiden PBM, tiada keperluan bagi PBM untuk mematuhi Fasal 14 di bawah perlembagaannya untuk memecat saya.
“Pemecatan saya yang tidak sah ini telah mendapat siaran media dan ini mengakibatkan kerosakan teruk kepada imej politik saya.
“Saya percaya bahawa sekiranya responden telah mendaftarkan saya sebagai Presiden PBM setelah menerima surat tersebut, saya tidak mungkin boleh dipecat secara tidak berperlembagaan,” kata Zuraida dalam afidavit itu.
Sementara itu, peguam Mohamed Ashmeer Ashrof mewakili Zuraida ketika dihubungi berkata, permohonan tersebut akan didengar di hadapan Hakim Datuk Amarjeet Singh hari ini. – UTUSAN