Warga emas antara 21 lelaki dicekup berjudi

Warga emas antara 21 lelaki dicekup berjudi

ANTARA individu yang ditangkap ketika melarikan diri ke sawah berhampiran ketika diserbu semasa leka bermain judi di Kampung Hutan Kandis, Mukim Lepai di Alor Setar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Status sebagai warga emas tidak mampu membawa rasa insaf kepada sebahagian daripada 21 lelaki apabila mereka tetap rancak berjudi walaupun pada bulan Ramadan di belakang sebuah kedai makan di sini, semalam.

Keriuhan mereka berjudi bagaimanapun berakhir dengan aksi kelam-kabut apabila masing-masing cuba melarikan diri termasuk ke kawasan sawah berhampiran ketika diserbu sepasukan pegawai dan anggota polis pada pukul 6.15 petang.

Menurut Ketua Polis Kedah, Datuk Wan Hassan Wan Ahmad, serbuan itu dilakukan di sebuah kedai makan di Kampung Hutan Kandis, Mukim Lepai, di sini.

“Sebaik menyedari kehadiran pihak polis, mereka yang terlibat cuba melarikan diri. Cubaan mereka itu bagaimanapun gagal apabila berjaya ditahan pasukan serbuan.

“Pihak polis kemudiannya merampas peralatan digunakan dalam permainan judi dipercayai jenis judi belangkas serta wang pertaruhan berjumlah RM17,000 di lokasi serbuan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Serbuan tersebut dijalankan Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah.

Mengulas lanjut Wan Hassan berkata, kesemua tangkapan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar untuk siasatan lanjut.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1959. Jika sabit kesalahan, mereka yang terlibat boleh didenda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya sekali.

“JSJ Kontinjen Kedah akan terus komited dalam membanteras bukan hanya kegiatan perjudian malah apa jua aktiviti yang menyalahi undang-undang bagi memastikan keamanan dan kesejahteraan masyarakat tercapai,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya