Wajib cari arah kiblat tepat, bukan bergantung aplikasi

Wajib cari arah kiblat tepat, bukan bergantung aplikasi telefon pintar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penggunaan aplikasi penunjuk arah kiblat di telefon bimbit mungkin dilihat sebagai satu kemudahan canggih untuk umat Islam namun dikhuatiri boleh menimbulkan keraguan selain berdepan kebarangkalian arah menjadi terpesong.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Setiausaha Persatuan Ahli Falak Negeri Selangor (PAFNS), Abdul Latip Ibrahim berkata, penggunaan aplikasi atau kompas boleh dijadikan sebagai panduan tetapi tidak seharusnya menjadi kebergantungan utama dalam menentukan arah kiblat khususnya di rumah.

“Semua penggunaan gajet sama ada kompas atau aplikasi di telefon bimbit boleh terganggu apabila persekitaran kawasan itu terdapat elemen besi dan arus elektrik sebagai contoh. Apabila ada ‘pergeseran’ daya tarik, ada kalanya jarum yang menentukan arah utara itu boleh jadi terpesong.

“Justeru, ia membawa kepada isu penentuan arah kiblat yang tidak tepat. Jika digunakan ketika sedang bermusafir ia boleh dijadikan panduan secara umum, tetapi untuk kegunaan di rumah adalah tidak digalakkan.

“Ini kerana untuk sesebuah penempatan atau kediaman, penentu arah kiblat harus berpegang kepada tiga faktor utama iaitu kekal, tetap dan tetap,”katanya.

Selain itu, kata Abdul Latip, PAFNS tidak menolak bahawa masih ramai kalangan masyarakat Islam di negara ini yang kurang arif mengenai soal penentuan arah kiblat di rumah.

Katanya, berdasarkan kajian yang dijalankan, PAFNS meng­anggarkan 2,000 daripada 5,000 buah rumah yang dikaji selidik, tidak mempunyai arah kiblat yang tepat. “Masih ramai yang tidak menggunakan penentu arah kiblat yang tepat di rumah masing-masing kerana pada mereka, cukup memadai menggunakan aplikasi,” ujarnya.

“Masih ramai yang tidak menggunakan penentu arah kiblat yang tepat di rumah masing-masing kerana pada mereka, cukup memadai menggunakan aplikasi di telefon atau kompas. Sepatutnya di setiap rumah orang Islam, kena ada tanda arah kiblat yang tepat.

“Kita kena ubah mentaliti ini.  Bayangkan kalau sesuka hati sahaja bentang sejadah untuk solat sedangkan arah kiblat tidak tepat? Nak tentukan arah juga bukan cuma hanya dengan ilmu berpandukan matahari.

“Ada ilmu khusus dan kiraannya juga. Namun, apa yang paling utama adalah harus berpandukan kedudukan Kaabah. Ada yang berpandangan boleh berpandukan kedudukan kubur, itu juga sama sekali salah. Ini boleh mengakibatkan berlakunya kekeliruan dalam umat Islam sendiri,”katanya.

Sehubungan itu, kata Abdul Latip, PAFNS, di bawah Jabatan Mufti, sejak beberapa tahun kebelakangan ini aktif dalam memberikan perkhidmatan mengukur dan menentukan arah kiblat di setiap kediaman atau bangunan untuk kemudahan orang Islam

Katanya, perkhidmatan tersebut kini lebih terbuka dijalankan dalam usaha memastikan seluruh umat Islam di negara ini lebih cakna tentang kepentingan dan kewajipan menentukan ketepatan arah kiblat.

“Mencari dan menentukan arah kiblat yang tepat adalah satu kewajipan untuk umat Islam. Oleh itu, inisiatif ini diambil secara agresif oleh PAFNS dalam memberikan perkhidmatan ini menerusi 100 ahli kami yang bertauliah.

“Perkhidmatan ini sebenarnya sudah lama ada, cuma baru kini kami uar-uarkan terbuka kerana sebelum ini kekurangan tenaga ahli. Menerusi persatuan, kini kami juga boleh latih ahli baharu selain menyalurkan perkhidmatan untuk masyarakat.

“Hasrat kami agar masyarakat Islam lebih peka tentangn isu yang disebut dan tidak bergantung kepada lambakan aplikasi di telefon bimbit semata,”katanya. –utusan

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN