KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) didesak membuka kertas siasatan berkenaan dakwaan bekas ratu cantik yang juga pelakon selepas menerima ugutan bunuh sejak awal tahun ini.
Peguam Faizal Rahman berkata, gesaan itu dibuat selepas anak guamannya, Shakila Saiful, 27, membuat laporan polis pada Januari lalu di Balai Polis Beranang dan terbaharu pada 30 Mac lalu di Ibu Pejabat Polis Polis Dang Wangi terhadap suami dan bapa mentuanya.
Bagaimanapun katanya, kesemua laporan polis tersebut tidak dibuka kertas siasatan dan tiada sebarang keterangan diambil daripada Shakila sehingga hari ini.
“Laporan polis telah dibuat sejak Januari tahun ini dan anak guam saya tidak pernah dipanggil untuk dirakam percakapan sampai sekarang dan hanya di dimaklumkan semalam bahawa kes ini dirujuk kepada majistret,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.
Sebelum ini, seorang bekas ratu cantik yang juga pelakon, Shakila dikatakan diperdaya dan dikhianati suami sendiri apabila diceraikan pada 24 November tahun lalu.
Dia sebelum itu terpaksa menggugurkan janin anak kembarnya berusia sebulan awal tahun lalu hasil hubungan luar nikah dengan suaminya yang ketika itu masih menjadi teman lelaki.
Shakila dan suami kemudian berkahwin pada 22 Mei tahun lalu sebagai janji untuk menggugurkan janin itu dan dalam masa sama dipujuk keluarga suami dengan alasan fatwa di dua buah negeri menghalalkannya.
Bagaimanapun suaminya telah memfailkan cerai di mahkamah syariah iaitu kira-kira enam bulan selepas mereka berkahwin iaitu pada 24 November tahun lalu.
Dalam pada itu, Faizal turut menimbulkan persoalan apabila kes tersebut tidak disiasat kerana aduan wanita terbabit dibuat terhadap seseorang yang mempunyai kedudukan serta pengaruh dalam masyarakat.
“Hal ini PDRM perlu menjawab dengan ikhlas kerana kami berpandangan di dalam keadaan satu aduan telah dibuat yang mana disyaki melibatkan suatu kesalahan jenayah di bawah Seksyen 312-315 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan melibatkan perbuatan menyebabkan berlakunya keguguran dan menghalang seorang bayi dilahirkan hidup.
“Secara jelas, pihak polis mempunyai kuasa untuk menyiasat perkara ini dengan memanggil pengadu dan pihak-pihak yang diadu untuk memberi keterangan dan siasatan dimulakan,” jelasnya. – UTUSAN








