Tiket bas pulang ke kampung masih banyak

Tiket bas pulang ke kampung masih banyak

SUASANA kaunter tiket bas di Stesen Bas Terminal 1, Seremban menjelang dua minggu sebelum ketibaan Aidilfitri.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Menjelang dua minggu sebelum perayaan Aidilfitri, tiket bas tambahan untuk perjalanan ke Utara dan Pantai Timur dari Stesen Bas Terminal 1 di sini masih boleh diperoleh orang ramai yang mahu pulang ke kampung.

Seorang kerani kaunter tiket di stesen bas tersebut, Noramira Razak, 32, berkata, malahan bas tambahan pertama yang dibuka bagi perjalanan ke Utara juga masih belum dipenuhi tempahan.

Jelasnya, keadaan tersebut sedikit menghairankan kerana kelaziman pada tahun-tahun sebelum, tiket bas ekspres dan bas tambahan telah habis dijual dalam tempoh sama iaitu kira-kira dua minggu sebelum perayaan.

“Buat masa sekarang, masih tidak ramai yang membeli tiket bagi bas tambahan terutamanya ke utara tetapi untuk bas ekspres memang sudah penuh.

“Tiket masih ada lagi dan bas masih lagi kosong walaupun hari raya hanya tinggal dua minggu sahaja lagi.

“Kebiasaannya dalam tempoh ini bilangan bas tambahan akan ditambah bagaimanapun bas yang pertama juga masih belum penuh,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini semalam.

Sementara itu, seorang lagi kerani kaunter tiket bas yang hanya mahu dikenali sebagai Faizal, 38, berkata, kini hanya tinggal tiket bas tambahan sahaja ditawarkan bagi perjalanan dari Stesen Bas Terminal 1 selepas tiket untuk bas ekspres habis ditempah.

Menurutnya, kebanyakan pembelian tempahan tiket dilakukan penumpang secara dalam talian berbanding mereka membelinya di kaunter.

“Stesen bas di sini memang jadi tumpuan terutama dalam kalangan pelajar-pelajar universiti dan sekolah serta kolej jururawat dari seluruh negeri ini untuk pulang ke kampung halaman masing-masing sempena hari raya puasa.

“Dahulu di Port Dickson, Tampin dan Bahau ada bas untuk ke destinasi-destinasi tersebut namun kini tidak lagi jadi semua penumpang akan menaiki bas dari Stesen Bas Terminal 1 di sini,” katanya yang turut memberitahu terdapat peningkatan antara RM5 sehingga RM10 bagi tiket bas ekspres dan bas tambahan bagi tahun ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN