34 warga tempatan beri pinjam, sewa kenderaan kepada entik Rohingya didakwa di mahkamah

34 warga tempatan beri pinjam, sewa kenderaan kepada entik Rohingya didakwa di mahkamah

MOHD. Misuari Abdullah (kiri) melakukan pemeriksaan semasa Ops Khas Pemandu Warga Asing (PEWA) dan Ops Bersepadu Dadah terhadap kenderaan perdagangan di Stesen Penguat Kuasa (SPK) JPJ Laloh, Kuala Krai, Kelantan-UTUSAN/YATIMIN ABDULLAH.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA KRAI: Seramai 34 warga tempatan sudah didakwa di mahkamah kerana memberi pinjam atau menyewakan kenderaan kepada etnik Rohingya yang berada di negeri ini sejak 2023 sehingga kini.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri, Mohd. Misuari Abdullah berkata, daripada jumlah itu ada yang dikenakan kompaun atau denda daripada pihak mahkamah membabitkan jumlah RM34,000.

Katanya, alasan yang sering diberikan pemilik kenderaan adalah kerana mahu membantu pekerja asing atas faktor simpati selain menyewakan kenderaan bagi mendapatkan bayaran.

“Biasanya sebab sewaan, kemudian ada yang kata kesian sebab pekerja. Mereka perlu beli makanan, balik rumah dan datang kerja setiap hari, jadi diberikan pinjam atau sewa.

“Ada juga kes yang kita jumpa sebelum ini, mereka sengaja menggunakan nama orang tempatan dan menggunakan kenderaan itu sepenuhnya,” katanya kepada pemberita semasa Ops Khas Pemandu Warga Asing (PEWA) dan Ops Bersepadu Dadah terhadap kenderaan perdagangan di Stesen Penguat Kuasa (SPK) JPJ Laloh di sini.

Mohd. Misuari memberitahu, tindakan penguatkuasaan akan diteruskan bagi memastikan pemilik kenderaan tidak sewenang-wenangnya membenarkan warga asing tanpa kelayakan menggunakan kenderaan di jalan raya.

Katanya, sejak operasi berterusan dijalankan, kes berulang semakin berkurangan dan kebanyakan kes kini membabitkan individu baharu yang baru mendapatkan pekerjaan serta mula menggunakan kenderaan.

“Sejak Januari hingga Jun lalu sebanyak 188 buah kenderaan telah diambil tindakan menerusi Ops PEWA.

“Daripada jumlah itu 176 buah sudah disita dan sebanyak 749 notis saman telah dikeluarkan kepada mereka terlibat,” ujarnya.

Mohd. Misuari berkata, pemilik kenderaan yang didapati membenarkan warga asing memandu kenderaan mereka tetap akan dikenakan tindakan mengikut peruntukan undang-undang.

Katanya, pemilik akan dipanggil untuk siasatan dan didakwa di mahkamah mengikut Seksyen 23(2).-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN