ALOR SETAR: Masalah bekalan air di Kedah tidak seteruk seperti digambarkan hingga didakwa melibatkan kira-kira sejuta pengguna atau hampir separuh daripada rakyat negeri ini seperti dilaporkan sebelum ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Bekalan Air dan Sumber Air, Pengairan dan Saliran serta Tenaga negeri, Munir @ Mohamad Yusoff Zakaria berkata, masalah yang berlaku ketika musim perayaan itu hanya melibatkan tidak sampai dua peratus daripada 643,000 akaun pengguna Syarikat Air Darul Aman (SADA).
Katanya, hanya 8,000 daripada keseluruhan 643,000 akaun tersebut sahaja yang dikenal pasti terjejas dengan masalah bekalan air baru-baru ini.
“Jumlah pengguna yang terjejas daripada 8,000 akaun itu dianggarkan kira-kira 40,000 orang dan bukan hampir sejuta penduduk seperti diperkatakan. Dari segi peratusan, akaun yang terjejas hanyalah 1.2 peratus daripada jumlah keseluruhan akaun pengguna SADA.
“Secara keseluruhannya keadaan masih terkawal dan dapat ditangani dengan baik oleh SADA. Keadaannya tidaklah seteruk seperti digambarkan sesetengah pihak,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, semalam.
Mengulas lanjut kata Munir, isu gangguan bekalan air yang berlaku mutakhir ini disebabkan operasi penggantian paip lama selain projek menaik taraf lima loji rawatan air (LRA) yang sedang berlangsung bagi manfaat rakyat Kedah pada masa akan datang.
Menurutnya, keadaan itu menjadi lebih kronik apabila sumber air berkurangan disebabkan cuaca panas berpanjangan.
“Ditambah pula dengan musim perayaan, maka isu gangguan bekalan air di Kedah menjadi lebih buruk. Untuk itu, pihak SADA telah melaksanakan pelan kontigensi semasa musim perayaan bagi berdepan isu ini secara menyeluruh.
“Malah, SADA juga memohon kerjasama semua pihak untuk menggunakan air secara berhemah dan melakukan persediaan awal dengan menyimpan air secukupnya bagi berdepan situasi luar jangka sepanjang musim perayaan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, Pakatan Harapan (PH) bersama Barisan Nasional (BN) dilihat seakan-akan berterusan menangguk di air keruh dengan menggunakan isu tersebut bagi menyerang kerajaan negeri kerana ketandusan modal untuk menghentam serta memburukkan imej dan reputasi Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor.
Menurutnya, PH dan BN turut pernah menjadi kerajaan sebelum ini, namun cuai dan lalai dalam menyelesaikan masalah air di Kedah.
“Isu bekalan air telah membuatkan rakyat Kedah sengsara sejak BN dan PH menjadi kerajaan. Fakta dan data kesengsaraan rakyat tercatat dalam minit-minit mesyuarat kerajaan negeri semasa itu dan di seluruh pejabat daerah dalam negeri ini.
“Pada 2019, kerajaan negeri pimpinan PH tangguh rancangan naik taraf lima LRA atas alasan kekangan kewangan setelah sebelum itu tertangguh lama oleh kerajaan BN. Pada tahun sama, SADA catat kerugian RM36 juta sekali gus beri kesan buruk dan menjejaskan perkhidmatan rakyat Kedah,” katanya. – UTUSAN










