MELAKA: Melaka Sentral di sini memaklumkan belum menerima sebarang permohonan daripada syarikat-syarikat bas ekspres untuk menyediakan perkhidmatan bas tambahan ke Pantai Timur dan Utara
Ini kerana kira-kira dua minggu sebelum umat Islam menyambut Hari Raya Aidilfitri, tiket dari Melaka Sentral ke Pantai Timur dan Utara telah habis dijual.
Ketika ditemui Utusan Malaysia, Pengurus Besar Melaka Sentral Sdn. Bhd., Datuk Hasnoor Husin berkata, pihaknya difahamkan rata-rata pengusaha sedang berdepan isu tidak mempunyai lebihan bas serta kekurangan pemandu untuk menyediakan bas tambahan.
“Tiket ke Kota Bharu, Kelantan habis dibeli pelanggan pada 13 April lalu manakala ke Terengganu pula sejak 18 April. Bagi destinasi ke Utara iaitu Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak tiket turut habis dijual pada 18 April.
“Hanya tiket bagi perjalanan ke Pahang, Kuala Lumpur dan Johor masih dijual kepada orang ramai setakat ini. Kita belum menerima sebarang permohonan daripada syarikat-syarikat bas ekspres yang menggunakan Melaka Sentral untuk ke Pantai Timur dan Utara menggunakan bas tambahan.
“Saya difahamkan ada pengusaha bas ekspres tidak mempunyai lebihan bas dan ada di antaranya tidak cukup pemandu, ia antara punca utama tiada permohonan bas tambahan,” katanya.
Tambah Hasnoor, sekiranya terdapat syarikat yang menyediakan perkhidmatan bas tambahan ke Pantai Timur dan Utara, pihaknya akan membuat hebahan dengan kadar segera bagi memudahkan orang ramai pulang ke kampung halaman.
“Syarikat bas ekspres hanya akan menyediakan bas tambahan ke destinasi tersebut sekiranya mendapat permintaan tinggi daripada orang ramai.
“Melaka Sentral juga memberi jaminan tidak akan ada penumpang yang akan tercicir untuk pulang ke kampung menggunakan terminal kami,” jelasnya.- utusan










