Terus satu padu, jaga fitrah keamanan - Agong - Utusan Malaysia

Terus satu padu, jaga fitrah keamanan – Agong

AL-SULTAN ABDULLAH RI’AYATUDDIN AL-MUSTAFA BILLAH SHAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyarankan semua rakyat menanam iltizam untuk terus bersatu padu dan menjaga fitrah keamanan serta kedamaian di negara tercinta ini.

Seri Paduka bertitah, rakyat di negara ini perlu bersyukur kerana semua bangsa dan agama di negara ini bebas untuk beribadat serta menyambut ketibaan hari kebesaran masing-masing dengan penuh kegembiraan dan serba kemeriahan.

Titah Seri Paduka, rakyat perlu mengambil iktibar dan pengajaran daripada musibah yang menimpa rakyat Palestin yang sering ditindas rejim Israel terutama daripada aspek kebebasan beragama.

“Merentasi pelbagai sempadan dan perbezaan, rakyat Malaysia meraikan kedatangan hari kebesaran pelbagai agama dengan penuh keharmonian serta saling menziarahi.

“Rakyat Malaysia juga boleh meneruskan kehidupan seharian dengan penuh rasa toleransi dan dengan tanpa wujud jurang perbezaan antara bangsa dan agama. Ia merupakan anugerah dan nikmat yang tiada bandingannya daripada Allah SWT,” titah Al-Sultan Abdullah.

Seri Paduka bertitah demikian dalam perutusan khas Aidilfitri yang disiarkan stesen televisyen dan radio tempatan malam ini.

Al-Sultan Abdullah bertitah, keadaan itu jauh berbeza dengan umat Islam di bumi Palestin apabila rejim Zionis dengan tanpa rasa bersalah melakukan serangan terkutuk ke atas masjid Al-Aqsa ketika umat Islam beribadat di bulan Ramadan.

Seri Paduka bertitah, Malaysia dan dunia mengutuk sekeras-kerasnya serangan terhadap jemaah Palestin serta pencerobohan ke dalam Masjid Al-Aqsa oleh tentera rejim Israel.

“Marilah kita membentuk dan sebatikan dalam setiap sanubari, jiwa serta raga untuk menjunjung kesetiaan kepada raja dan negara sebagai landasan pencetus perpaduan yang utuh untuk dijadikan bekalan bagi membentuk masa depan negara yang gemilang,” titah Seri Paduka.

Al-Sultan Abdullah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut mengambil kesempatan mendoakan keselamatan serta kesejahteraan rakyat Malaysia yang terkesan dalam konflik di Sudan.

“Semoga konflik di Sudan dan Palestin akan menemui titik noktah kedamaian,” titah Seri Paduka.

Seri Paduka turut menzahirkan penghargaan atas pengorbanan mereka yang terpaksa bertugas pada perayaan ini terutama petugas perkhidmatan kesihatan, Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia serta semua pihak yang menggalas amanah menjaga kesejahteraan, keamanan dan kedaulatan negara.

Seri Paduka turut menasihati mereka yang memandu untuk pulang ke kampung halaman agar sentiasa mengutamakan keselamatan dan mematuhi undang-undang serta selamat tiba ke destinasi dituju bagi meraikan Aidilfitri bersama insan tersayang.

Pada masa sama, Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah turut mendoakan agar seluruh rakyat Malaysia agar sentiasa dilindungi serta dirahmati Allah SWT, tidak kira di mana mereka berada.

“Marilah bersama kita berdoa semoga negara Malaysia yang kita cintai ini akan terus kekal aman sentosa dalam satu semangat perpaduan yang utuh serta maju jaya melangkah menuju masa hadapan yang gemilang,” titah Seri Paduka. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.