Terpaksa pinjam wang rakan buat modal pusingan - Utusan Malaysia

Terpaksa pinjam wang rakan buat modal pusingan

SOLINA Bidin (kanan) dan Gan Ay Ling melihat khemah baharu yang disediakan oleh pihak penganjur bagi membantu peniaga yang terjejas akibat ribut di bazar Ramadan Kampung Pengkalan Asam, Kangar, Perlis. – MINGGUAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Ribut yang melanda Perlis pada Rabu lalu meninggalkan kesan mendalam khususnya buat peniaga-peniaga bazar Ramadan yang terjejas.

Malah ada di antaranya terpaksa menghentikan perniagaan beberapa hari memandangkan gerai-gerai yang diusahakan musnah teruk.

Bagi seorang peniaga nasi campur di bazar Ramadan Kampung Pengkalan Asam di sini, Solina Bidin, 55, yang turut terjejas berkata, dia terpaksa me­minjam wang daripada rakan untuk membuat modal pusi­ngan selepas mengalami kerugian besar akibat kejadian itu.

“Kejadian ribut itu memang di luar jangkaan dan kami mengalami kerugian besar namun saya bernasib baik kerana ada rakan sudi membantu bagi meminjamkan wang terlebih dahulu untuk dijadikan modal pusingan.

“Malah saya juga bernasib baik kerana penganjur bazar berkenaan turut berusaha membantu dengan mengambil inisia­tif menyediakan khemah baharu buat peniaga terjejas,” katanya ketika ditemui Mingguan Malaysia selepas menerima kunjungan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Indera Kayangan, Gan Ay Ling di sini semalam.

Tambah ibu tunggal tersebut, ketika kejadian berkenaan, beberapa khemah di tapak bazar tersebut musnah dibadai angin kencang.

Ibu kepada enam orang anak itu berkata, kejadian berlaku begitu pantas sehingga menyebabkan dia dan peniaga-peniaga lain mengalami kerugian selepas hanya beberapa hari berniaga pada bulan Ramadan ini.

Dalam pada itu, penganjur bazar Ramadan itu, Hanif Hamid, 43, berkata, dia amat memahami kesukaran peniaga untuk membeli kelengkapan perniagaan yang musnah dan berikutan itu pihaknya mengambil inisiatif memberikan khemah untuk digunakan terlebih dahulu.

“Peniaga berkenaan juga boleh membuat pembayaran khemah itu sebanyak dua kali selepas mereka meraih semula modal dan keuntungan perniagaan masing-masing,” katanya.

Sementara itu, Ay Ling berkata, pihaknya menyarankan agar peniaga dan penduduk yang terjejas dapat melaporkan kejadian itu kepada polis dan kemudian membawa laporan berkenaan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk tindakan selanjutnya.

Beliau turut menyeru agar Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dapat membantu bagi menyediakan caruman buat peniaga sebagai persediaan sekiranya kejadian seperti itu berulang.

“Peniaga juga mungkin boleh membeli insurans bencana ke­rana seandainya kejadian seperti ini berulang, ia sememangnya akan memberi kerugian besar kepada mereka,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya