PETALING JAYA: Kerajaan perlu mewujudkan satu kaedah yang berkesan dan selamat bagi melindungi data peribadi rakyat supaya tidak sewenang-wenangnya dibocorkan kepada pihak tidak bertanggungjawab oleh penjenayah siber.
Rata-rata orang ramai yang ditemui Utusan Malaysia semalam, meluahkan kebimbangan dan kesal dengan situasi tersebut dan mahu tindakan konkrit diambil bagi melindungi data peribadi mereka.
Seorang penjawat awam, Mohd. Yasri Yusof, 44, berkata, antara punca kebocoran data peribadi rakyat adalah kerana sistem keselamatan yang diguna pakai masih di tahap rendah.
“Pihak bertanggungjawab perlu wujudkan satu kaedah yang mudah difahami dan dilaksanakan oleh semua pihak yang hanya dikawal selia oleh satu agensi. Ketika ini terdapat pelbagai agensi berkaitan, lebih baik lantik satu agensi sahaja untuk beri sepenuh tumpuan menjaga data peribadi rakyat Malaysia,” katanya ketika di sini semalam.
Utusan Malaysia semalam melaporkan, data rakyat Malaysia daripada pelbagai organisasi kerajaan dan swasta dikesan ‘dilelong’ secara pukal di laman web gelap atau dark web dengan harga serendah RM4,400 sehingga RM45,000.
Sementara itu, seorang jurutera, Sansu Bari, 48, berkata, dia bimbang jika masalah kebocoran data peribadi tidak dapat ditangani dengan berkesan oleh pihak berkuasa kerana ia boleh disalah guna bagi tujuan buruk.
‘Ini membuatkan saya berasa tidak selamat untuk melakukan sesuatu perkara apabila maklumat diri boleh ‘dicuri’ pihak tidak bertanggungjawab,” katanya.
Pekerja teknologi maklumat (IT) di sebuah syarikat swasta di sini, Firdaus Hafifi Saidi, 26, pula berharap kerajaan lebih peka terhadap perlindungan data peribadi rakyat.
“Pengurusan data peribadi harus lebih telus dan sentiasa diteliti untuk mengelakkan ketirisan serta salah guna oleh pihak dalaman demi mengaut keuntungan sendiri,” katanya. – UTUSAN










