KUALA LUMPUR: Sekurang-kurangnya tujuh paip bawah tanah di kawasan tanah runtuh dekat pintu masuk Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) di Bukit Tunku, Jalan Duta di sini, didapati mengalami kebocoran.
Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya (Sektor Infra), Datuk Zulkipli Nasri berkata, perkara itu hasil siasatan terperinci yang dilakukan Jabatan Kerja Raya (JKR) di lokasi kejadian berkenaan.
Menurut beliau, keadaan itu menyebabkan berlaku pengaliran air dalam kuantiti banyak dari paip yang dianggar berusia lebih 40 tahun sehingga mengakibatkan runtuhan tanah.
“Kalau tengok dekat situ, bila berlaku runtuhan kita lihat banyak air yang keluar. Jadi saya rasa itu mungkin puncanya. Bagi mendapatkan butiran terperinci, penyiasatan akan dijalankan lebih lanjut.
“Indikator awal daripada MACA juga memaklumkan bil air mereka meningkat,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian hari ini.
Semalam, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, hasil siasatan awal Bahagian Forensik Tanah Runtuh Cawangan Kejuruteraan Cerun mendapati wujud kebocoran kepada sistem perpaipan bekalan air di lokasi kejadian.
Jelas beliau, kebocoran itu menyebabkan tanah mengalami ketepuan yang tinggi seterusnya meningkatkan ‘lateral force’ kepada tembok penahan sedia ada dari jenis Contiguous Micropile mengakibatkan sebahagian tembok penahan tersebut runtuh bersama-sama dengan tanah cerun. – UTUSAN