PETALING JAYA: Menantu tidak suka mentua dan berasa payah menjaga ibu bapa menjadi faktor sebanyak 2,144 warga emas diabai dan ditinggalkan di hospital sepanjang tempoh lima tahun iaitu dari 2018 hingga Jun 2022.
Lebih menyedihkan, banyak waris termasuk anak sendiri dikesan enggan tampil untuk mengambil warga emas tersebut. Antara alasan diberi adalah masalah keluarga, tiada penjaga termasuk tidak mengenali individu terlibat.
Menerusi jawapan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat di Dewan Rakyat pada tahun lalu, daripada jumlah 2,144 warga emas terlibat, seramai 914 berjaya dikembalikan kepada keluarga atau waris.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pakar Perunding Kaunselor Kekeluargaan dan Perkahwinan, Hushim Salleh berkata, beliau banyak menerima kes warga emas ditinggalkan anak-anak setelah tidak sanggup membela ibu bapa mereka yang menghidap pelbagai penyakit dan menganggap kehadiran sebagai satu membebankan.
Ujarnya, perkara itu merupakan satu realiti yang berlaku dalam kalangan masyarakat hari ini sehingga ada yang sanggup menghantar ibu bapa ke rumah jagaan orang tua.
“Faktor ini berlaku kerana masalah kewangan apabila perbelanjaan mengurus ibu bapa sakit memakan kos tinggi, jadi anak-anak mengambil keputusan meninggalkan mereka meskipun sebelum ini orang tua itulah yang bersusah payah membesarkan mereka.
“Selain itu, sikap anak menantu sendiri yang tidak suka mentua. Lalu jadilah kes warga emas ditinggalkan di tepi jalanan,” katanya.
Kata Hushim, meskipun ada ibu bapa dilihat seolah-olah rela dihantar ke rumah orang tua, tetapi mereka terpaksa atau reda kerana sudah lagi tempat bergantung.
“Banyak kes yang jumpa, ibu bapa pasrah tinggal di rumah kenangan sebab tidak mengeruhkan keadaan dan menyusahkan anak-anak sehingga ke akhir hayat,” kongsi beliau.
Bagaimanapun katanya menjelaskan, tidak semua anak-anak kurang kemampuan mengabaikan ibu bapa kerana masih ada yang sanggup berkorban wang ringgit demi menjaga orang tua yang sedang uzur.
Mengulas lanjut, Hushim memberitahu, Rang Undang-Undang Warga Emas yang digubal agar tindakan terhadap anak yang tidak bertanggungjawab kepada ibu bapa mereka bukan satu-satunya jalan penyelesaian terhadap masalah berlaku ini.
Beliau memberitahu, paling penting adalah pendidikan keibubapaan khususnya dalam generasi muda agar menerapkan aspek rumah tangga yang bahagia dan harmoni daripada peringkat awal.
“Punca ibu bapa diabaikan kerana pendidikan di rumah itu sendiri, sejak kecil anak-anak tidak diajar untuk menghormati bapa dan emak, akhirnya apabila dewasa mereka merasakan kedua-dua insan ini tidak lagi diperlukan,” katanya.
Sebaliknya, pakar kaunseling, Dr. Rusni A. Ghani berkata, kewangan bukan faktor ibu bapa ditinggalkan, sebaliknya kegagalan mewujudkan keluarga harmoni dalam rumah tangga khususnya selepas berumah tangga.
Beliau mengakui banyak kes ibu bapa ditinggalkan berpunca daripada kaffarah atau kesilapan lama mereka terdahulu yang pernah mengabaikan anak-anak sewaktu usia muda.
“Ketika muda, ada ibu bapa abai jaga anak-anak, bila sudah dewasa, giliran mereka pula diabaikan oleh anak-anak sendiri.
“Oleh itu, kunci di sini adalah penghayatan dan rasa tanggungjawab untuk mewujudkan sebuah harmoni. Ada anak-anak tidak kemampuan, tetapi mereka dilahirkan daripada didikan dan keluarga harmoni, mereka sanggup berkorban demi ibu bapa dikasih,” kata Ketua Penolong Pengarah Kanan (Bahagian Pengurusan Psikologi), Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) itu. – UTUSAN










