Sultan Mizan kurnia bantuan Aidilfitri - Utusan Malaysia

Sultan Mizan kurnia bantuan Aidilfitri

SULTAN Mizan Zainal Abidin mengurniakan bantuan kepada salah seorang pelajar sempena Hari Raya Aidilfitri di Istana Syarqiyyah, Chendering Kuala Terengganu, hari ini. - UTUSAN/KAMALIZA KAMARUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin dan Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah berkenan mengurniakan bantuan kepada fakir miskin dan pelajar sekolah sempena Hari Raya Aidilfitri di Istana Syarqiyyah, Chendering di sini, hari ini.

Baginda berkenan mengurniakan bantuan kepada 200 fakir miskin terpilih dari seluruh daerah berupa wang tunai dan hamper barangan keperluan harian daripada Yayasan Diraja Sultan Mizan (YDSM).

Ahli Lembaga Pemegang Amanah YDSM, Datuk Mohd. Fadzli Yusof berkata, bantuan juga turut disampaikan kepada 30 penggiat seni dan budaya serta 30 veteran polis.

Menurutnya, selain itu, seramai 210 pelajar keluarga miskin dari tujuh buah sekolah dan 30 pelajar dari tiga buah pusat pengajian Islam turut menerima kurniaan yang sama.

“Sumbangan yang diberi melibatkan nilai keseluruhan sebanyak RM255,000 dan diharapkan semua penerima dapat memanfaatkannya untuk membuat persiapan Aidilfitri tidak lama lagi,” katanya ketika ditemui  selepas majlis pengurniaan tersebut.

Terdahulu, keberangkatan tiba baginda berdua diiringi oleh Yang DiPertuan Muda Terengganu dan semua anakanda baginda dan disambut Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dan isteri, Toh Puan Seri Tuan Faezah Tuan Ab. Rahman.

Pada majlis yang sama, seramai 500 fakir miskin wanita juga menerima kurniaan daripada Yayasan Tuanku Nur Zahirah (YTNZ) bagi persediaan menyambut Aidilfitri. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya