PUTRAJAYA: Hukum tuntutan fardu solat Jumaat kekal wajib walaupun jika tarikh 1 Syawal tahun ini jatuh pada hari Jumaat.
Perkara tersebut ditegaskan Pengerusi Persatuan Ulama Malaysia (PUM) Wilayah Persekutuan, Datuk Mohamad Abdullah ketika ditanya mengenai status solat itu.
“Solat Jumaat tetap adalah wajib ke atas setiap individu lelaki Muslim tetapi berbeza pula dengan solat hari raya yang sebaliknya hanya hukum sunat,” kata beliau ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.
Isu tersebut timbul baru-baru ini apabila ramai warganet dilaporkan ‘berkempen’ agar anak bulan Syawal muncul pada 20 April dan Aidilfitri disambut hari keesokannya.
Mereka mendakwa kononnya jika Hari Raya Aidilfitri pada Jumaat, maka solat fardu Jumaat tidak perlu dilaksanakan kerana sudah menunaikan solat sunat Aidilfitri.
Ada kalangan mereka memberikan alasan tidak mahu mendirikan solat Jumaat kerana agak penat melayan tetamu datang ke rumah atau sibuk beraya menziarahi rumah ke rumah.
Tidak kurang berdalih remeh konon tidak dapat mengerjakan solat Jumaat setelah keletihan persiapan akhir termasuk memasak ketupat, lemang dan rendang pada malam raya.
Mengulas lanjut, Mohamad yang juga bekas Ketua Hakim Syarie Wilayah Persekutuan berkata, hukum kefarduan solat berkenaan ada dibahaskan ramai ulama sejak dahulu.
“Bagaimanapun umat Islam di Malaysia yang sebahagian besar bermazhab Syafie adalah wajib melaksanakan solat Jumaat walaupun ia jatuh pada hari raya,” tegasnya.
Hukum tersebut, kata beliau, berdasarkan semakan beliau sendiri menerusi kitab fiqh terkenal al-Asybah wa al-Nazair yang menerangkan perbezaan antara solat Jumaat dan solat raya.
Malah tambahnya, isu ini pernah diulas secara tuntas oleh bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri menerusi Tahqiq al-Masail Siri Kelima pada 2017.
Solat hari raya sama ada Aidilfitri dan Aidiladha cuma hukumnya sunat muakkad yang ada disyariatkan Islam tetapi solat Jumaat pula adalah wajib dan berdosa jika tiada keuzuran.
Tambahan pula katanya, bilangan masjid dan surau dengan kebenaran solat Jumaat adalah banyak serta tiada alasan untuk sengaja ditinggalkan kecuali musafir yang diharuskan.
Namun Zulkifli menyarankan agar khatib bertugas meringkaskan teks khutbah untuk memberikan keringanan kepada jemaah yang mungkin ada urusan berhari raya di rumah.- UTUSAN










