SKM sasar 600 pendaftaran koperasi baharu tahun ini - Utusan Malaysia

SKM sasar 600 pendaftaran koperasi baharu tahun ini

AMRAN Abdul Kadir (kanan) dan Shahrizan Rosli (kiri) menyampaikan sijil Anugerah Koperasi Terbaik kepada penerima pada Program Borak Berkat Apresiasi Koperasi Negeri Sembilan di Seremban hari ini. UTUSAN/ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) menyasarkan pendaftaran sebanyak 600 koperasi baharu menjelang hujung tahun ini. 

Naib Pengerusi Eksekutif (Dasar dan Pembangunan) SKM, Amran Abdul Kadir berkata, sasaran itu perlu dengan memastikan setiap kampung, masjid mahupun komuniti belia mempunyai koperasi mereka sendiri. 

“Sasaran sebanyak 600 koperasi ini penting dalam usaha meningkatkan pendapatan masyarakat menerusi gerakan koperasi yang sekali gus mampu memacu perkembangan ekonomi negara yang lebih baik. 

“Mengikut rekod SKM, sehingga 31 Disember tahun lalu, bilangan koperasi di Malaysia adalah sebanyak 15,315 buah dengan bilangan anggota koperasi seramai 7.13 juta orang.

“Jumlah modal syer dan yuran pula adalah sebanyak RM16.98 bilion dengan kekuatan aset sebanyak RM159.7 billion dan jumlah perolehan sebanyak RM45.5 billion,” katanya kepada pemberita selepas Program Borak Berkat Apresiasi Koperasi Negeri Sembilan di sini hari ini.

Yang hadir sama pada program tersebut, Pengarah SKM Negeri Sembilan, Shahrizan Rosli. 

Dalam pada itu, jelas Amran lagi, SKM telah menyediakan pelbagai kemudahan untuk dinikmati oleh koperasi seperti geran bantuan pembangunan koperasi sehingga RM300,000 dan pembiayaan Tabung Modal Pusingan  (TMP-SKM) sehingga RM30 juta. 

“Pada tahun lalu, jumlah permohonan bantuan pembangunan yang telah dimohon oleh koperasi di Negeri Sembilan berjumlah RM2.17 juta dan kelulusan adalah sebanyak RM1.32 juta yang melibatkan 73 buah koperasi. 

“Bagi TMP-SKM jumlah permohonan pinjaman dan pembiayaan yang diterima adalah sebanyak RM10.07 juta dan jumlah kelulusan adalah sebanyak RM2.01 juta yang melibatkan lapan buah koperasi,” katanya. 

Sementara itu, pada majlis berkenaan turut disampaikan Sijil Anugerah Koperasi Terbaik kepada 15 buah koperasi di negeri ini.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya