‘Sesal hingga ke mati’ - Utusan Malaysia

‘Sesal hingga ke mati’

SAM KE TING
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: “Pada setiap detik jiwa dan pemikiran saya dihantui oleh kejadian malang yang berlaku pada malam tersebut dan saya percaya saya akan membawa perasaan ini sehingga ke kubur”.

Demikian jelas kerani, Sam Ke Ting ketika membacakan kenya­taannya selepas dilepas dan dibebaskan Mahkamah Rayuan, semalam, berhubung sabitan dan hukuman dalam kes basikal lajak yang menyebabkan kematian lapan remaja, enam tahun lalu.

Dalam kenyataan itu, Ke Ting secara terbuka memohon maaf kepada lapan keluarga mangsa kejadian.

Walaupun sedar permohonan maaf tersebut tidak akan dapat mengembalikan mangsa ke pangkuan keluarga namun jelasnya, kejadian itu juga akan terus menghantuinya untuk selamanya.

“Saya mengaku dan akur, saya telah memandu dan menyebabkan kematian pada anak-anak anda yang disaya­ngi. Namun demikian kemalangan tersebut bukanlah di­sengajakan oleh saya.

“Sepanjang enam tahun kes ini dibicarakan di mahkamah, saya sentiasa terfikir dan me­renung tentang bagaimanakah kehidupan harian dan masa depan yang arwah mungkin nikmati di sisi keluarga yang tersayang.

“Apa yang dikatakan saya di sini tidak mencukupi untuk membawa ketenteraman kepada kehidupan anda yang berkecamuk dengan pelbagai pe­rasaan yang tidak patut dialami. Kata-kata saya tidak dapat membawa arwah kembali ke pangkuanmu namun demikian saya juga memikul keperitan tragedi tersebut.

“Saya dengan suci hati memohon maaf walaupun saya tahu dan faham bahawa maaf (amat berat) untuk anda hulurkan,” katanya.

Terdahulu, Ke Ting dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Rayuan di sini selepas panel tiga hakim mendapati pertuduhan yang dikenakan terhadap wanita itu cacat.

“Awak perlu berlaku adil sebab itulah Majistret membuat penilaian maksimum dan dapatan Majistret bahawa kemalangan ini memang mustahil dapat dielakkan sebab situasi berbahaya itu diwujudkan oleh penunggang basikal lajak,” kata Datuk Hadhariah Syed Ismail yang mengetuai panel tiga Hakim Mahkamah Rayuan.

Dalam kejadian pada awal pagi, 18 Februari 2017, sekumpulan remaja yang terlibat dengan aktiviti basikal lajak dirempuh oleh kereta dipandu wanita terbabit.

Lapan remaja berusia 13 hingga 17 tahun maut di tempat kejadian manakala 10 lagi mengalami kecederaan yang mana dua daripadanya me­ngalami kecederaan parah.

Menurut Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan (ketika itu), Asisten Komisioner, Sulaiman Salleh terdapat 20 hingga 30 orang remaja memenuhi jalan raya.

Sulaiman berkata, wanita tersebut kini disiasat dan siasatan awal mendapati wanita itu tidak mabuk semasa kejadian berlaku. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya