Selepas 35 tahun terpisah harap jumpa isteri, anak di Aidilfitri

Selepas 35 tahun terpisah harap jumpa isteri, anak di Aidilfitri

BAGI menghilangkan rasa kesunyian dan kerinduan terhadap ahli keluarga yang terpisah sejak 35 tahun lalu, Ramli Kiman (dua dari kanan) meluangkan masa berbual dengan para penghuni yang lain di Rumah Sejahtera Batu Bertangkup, Padang Besar, Perlis semalam.- UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG BESAR: Dalam usia senjanya, tiada apa yang diharapkan oleh Ramli Kiman,70, selain dapat bertemu semula isteri dan empat anaknya yang terpisah sejak lebih 35 tahun lalu.

Setiap hari, kehidupan warga emas dari Pasir Gudang Johor itu penuh pengharapan agar dapat bertemu semula insan kesayangannya itu dan bakal menjadi hadiah paling istimewa dalam hidupnya jika Aidilfitri ini mampu menjadi detik pertemuan mereka sekeluarga.

Sebagai manusia biasa, Ramli sebenarnya tidak lari daripada melakukan kesilapan apabila tidak pulang-pulang bertemu keluarga sejak keluar ke ibu kota untuk bekerja puluhan tahun lalu.

Dia yang kini menetap di Rumah Sejahtera Batu Bertangkup di sini sejak November tahun lalu juga tidak pernah berputus harap dan terus berusaha mengesan ahli keluarganya itu yang sebelum ini juga menetap di Pasir Gudang.

Dalam masa sama, dia juga berharap insan kesayangan itu masih hidup dan menjalani kehidupan lebih baik meskipun tanpanya di sisi sepanjang tempoh itu.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ramli atau lebih mesra disapa sebagai Pak Ramli berkata, mereka sekeluarga mula terpisah sejak dia merantau ke Kuala Lumpur bagi mencari rezeki dengan melakukan pelbagai pekerjaan termasuk sebagai tenaga pengajar di salah sebuah institut memandu di situ.

“Ketika itu, saya terlalu menumpukan perhatian kepada pekerjaan dan jarang pulang ke kampung sehingga puluhan tahun menyebabkan kami terputus hubungan.

“Saya juga mula berniaga roti canai di Sungai Buloh, Selangor namun ia tidak bertahan lama kerana tapak kawasan perniagaan itu diambil oleh kerajaan bagi membina jalan baharu.

“Dan selepas itu (selepas puluhan tahun) saya mengambil keputusan untuk pulang semula ke kampung di Pasir Gudang namun apabila sampai di sana, saya dapati ahli keluarga sudah tidak menetap di rumah itu dan mungkin berpindah ke tempat lain,” katanya.

Tambahnya, dia juga buntu kerana sudah tidak ada ahli keluarga yang boleh dihubungi bagi membantu mengesan isteri dan anak-anak itu.

Dalam pada itu, Ramli berkata, dia sememangnya berharap agar Aidilfitri kali ini dapat memberi lembaran baharu buat dirinya untuk bertemu semula dengan ahli keluarga yang terpisah sejak berpuluh tahun lalu.

Katanya, kebiasaan, dia dan ahli keluarga juga akan berkumpul pada setiap kali sambutan hari raya bagi menikmati juadah seperti lemang, ketupat, rendang dan sebagainya.

“Saya sememangnya amat merindui mereka semua dan sekiranya sesiapa mempunyai maklumat mungkin boleh datang mencari saya di sini,” katanya.

Sehubungan itu, mana-mana pihak yang mempunyai maklumat mengenai ahli keluarga Ramli boleh berhubung terus dengan penyelaras Rumah Sejahtera Batu Bertangkup tersebut di talian 019-4506734.- utusan

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN