Saya tidak pernah dipelawa mohon tauliah - Wadi Annuar - Utusan Malaysia

Saya tidak pernah dipelawa mohon tauliah – Wadi Annuar

MOHAMAD WADI ANNUAR AYUB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Pendakwah bebas, Mohamad Wadi Annuar Ayub atau lebih dikenali sebagai ustaz Wadi Annuar menjelaskan bahawa beliau tidak pernah dipelawa bagi sebarang permohonan tauliah melalui perjumpaan dengan Exco Agama Islam negeri seperti dinyatakan dalam laporan media sebelum ini.

Selain itu, Wadi Annuar berkata, beliau juga belum pernah mengadakan sebarang perjumpaan bersama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Perlis (JAIPs) seperti didakwa sesetengah pihak.

Katanya, dalam insiden Rabu lalu, pihaknya telah dijemput untuk menghadiri Program Solat Tarawih dan Sembang Santai di Markaz Tarbiyah Pas Kawasan Kangar, Kampung Abi, Padang Machang, di sini, sekitar pukul 9.45 malam.

“Saya dimaklumkan oleh penganjur bahawa program ini bukanlah majlis pengajian agama dan ia hanya program sembang santai bersama masyarakat setempat melibatkan beberapa soalan berkaitan perkembangan badan bukan kerajaan (NGO) kelolaan saya, keadaan terkini ibadat umat Islam di Mekah serta Madinah bersama beberapa kupasan isu semasa.

“Maka, saya menerima jemputan yang diadakan di permis persendirian tersebut dan tidak memerlukan tauliah agama negeri,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Semalam media melaporkan, JAIPs akan memanggil Wadi Annuar yang didakwa tidak mendapat tauliah untuk memberi ceramah dalam satu program di Kompleks Pendidikan MATIN, Kampung Abi, Padang Machang, di sini, kelmarin.

Selain itu, satu laporan turut dibuat di balai polis Kangar oleh JAIPs selepas anggota penguat kuasanya dihalang oleh penganjur daripada bertemu dengan Wadi Annuar sebelum ini bagi mengambil keterangan berhubung tindakan pendakwah itu memberi ceramah di negeri ini.

Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd Asri Zainul Abidin dilaporkan berkata, pendakwah berkenaan bersama penganjur iaitu Lajnah Dakwah dan Perkaderan Pas Kangar dikehendaki hadir bagi memberi keterangan di Pejabat JAIPs pada 17 April depan sebelum sebarang tindakan lanjut dilaksanakan selepas itu.

Pada 22 Mac lalu, Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail juga pernah menitahkan agar pihak berkuasa agama dapat memantau dan memastikan agar setiap penceramah di negeri ini mendapatkan tauliah daripada Jabatan Mufti Negeri.

Mengulas lanjut, Wadi Annuar berkata, pihaknya sebelum ini telah menerima surat perintah hadir siasatan oleh JAIPs pada 7 April depan.

“Disebabkan kekangan masa dan jadual program yang padat, saya sendiri telah memohon untuk mengubah tarikh hadir siasatan berkenaan pada 17 April dan ia turut diterima oleh pihak berkenaan,” katanya.

Tambahnya, beliau sememangnya sentiasa menjunjung perintah Tuanku Syed Sirajuddin dan tidak pernah mempersendakan titah baginda.

“Semoga dengan kenyataan maklum balas ini dapat menjawab kekeliruan yang timbul dan memperbetulkan semula persepsi negatif yang dilemparkan terhadap saya oleh pihak tidak bertanggungjawab,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya