Sanusi poster boy PN Kedah

Sanusi poster boy PN Kedah

MUHAMMAD SANUSI MD. NOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Perikatan Nasional (PN) Kedah tiada nama lain untuk diketengahkan sebagai poster boy gabungan itu bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi, melainkan Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pesuruhjaya Pas Kedah, Datuk Ahmad Yahaya berkata, berasaskan kepada prestasi dan kualiti kepemimpinan yang ada pada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri itu, Muhammad Sanusi adalah calon yang amat sesuai mereka miliki.

Katanya, selepas menerajui kerajaan negeri Kedah selama tiga tahun sejak 2020, Muhammad Sanusi juga sudah disepakati parti-parti komponen dalam PN untuk terus dinamakan sebagai calon Menteri Besar sekiranya PN kekal memerintah Kedah.

“Tentang calon Menteri Besar seterusnya, memang cadangan itu datang daripada parti tetapi juga mesti dengan perkenan Tuanku Sultan kedah. Namun secara asas untuk Kedah kami sepakat untuk kita hanya mengangkat satu nama sebagai poster boy iaitu Menteri Besar kita sekarang ini.

“Tidak ada perbezaan pandangan dalam hal ini termasuk daripada rakan-rakan parti komponen PN yang lain untuk memastikan segala perancangan yang dibuat terhadap Kedah dapat diteruskan dengan baik,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Muhammad Sanusi yang juga Pengerusi PN Kedah mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Kedah ke-14 pada 17 Mei 2020 bagi menggantikan Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang melepaskan jawatan setelah kerajaan Pakatan Harapan (PH) runtuh.

Beliau yang sebelum itu merupakan Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah memenangi kerusi DUN Jeneri dengan majoriti 2,455 undi apabila meraih 10,626 undi mengatasi lawan dari Barisan Nasional (BN) dan PKR pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14)

Pada PRU15, PN hampir menyapu bersih 15 kerusi Parlimen di negeri itu setelah menang di 14 kerusi termasuk mengenepikan nama besar seperti Tun Dr. Mahathir Mohamad di Langkawi.

AHMAD YAHAYA

Sementara itu, Ahmad berkata, serangan bertali arus yang dihalakan kepada Muhammad Sanusi kebelakangan ini menguatkan lagi faktor mengapa beliau perlu diangkat sebagai poster boy dan calon Menteri Besar Kedah seterusnya.

“Apa yang saya faham dalam politik bila seseorang pemimpin diserang dengan hebat, itu menunjukkan orang itu hebat. Tetapi kalau orang tak peduli dia, itu tak ada apa-apa dan kalau orang sering intai dia, cari ruang untuk menyerang itu bermakna beliau amat istimewa.

“Kita anggap biasa apabila tokoh diserang. Lagi banyak diserang dia akan memiliki kekuatan luar biasa. Kita akui serangan-serangan dibuat kepada Muhammad Sanusi tetapi kami lihat kemampuan beliau tangkis serangan sehingga mendapat lebih banyak sokongan termasuk dalam kalangan anak muda serta dalam media sosial,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN