Sanusi dakwa surat singkirnya daripada Majlis Kewangan Negara wujud

Sanusi dakwa surat singkirnya daripada Majlis Kewangan Negara wujud

MUHAMMAD Sanusi Md. Nor ketika sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman, Alor Setar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor mendakwa terdapat surat daripada Kementerian Kewangan (MOF) kepada Pejabat Sultan Kedah yang melobi agar beliau disingkirkan daripada mewakili Kedah dalam Majlis Kewangan Negara. 

Menurut Muhammad Sanusi, beliau berani membuat pendedahan tersebut kerana mengetahui kewujudan surat berkenaan yang melobi Sultan Kedah agar menukar ahli Majlis kewangan Negara bagi negeri itu. 

“Pejabat Perdana Menteri (PMO) dan MOF itu samalah, orang yang sama. Surat itu datang daripada Kementerian Kewangan. Saya habaq dari MOF, bermakna adalah (surat tersebut). Bukan pertahan dah tetapi benda itu ada.

“Di Wisma Darul Aman saya berkawan dengan semua orang dari sekecil-kecil jawatan hingga yang besar. Sebab itu apa yang dibuat di sini saya tahu termasuklah tindakan depa hantar surat kepada baginda untuk lobi agar ditukar Ahli Majlis Kewangan Negara,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco, hari ini. 

Muhammad Sanusi yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) dan Pas menegaskan tidak akan mendedahkan surat itu kerana tindakan sedemikian hanya menampakkan beliau seolah-olah cuba berkonfrontasi. 

“Hasrat saya jangan bagi perkara itu berlaku dan bukannya saya cari gaduh. Sepatutnya apabila dah jadi Perdana Menteri, menteri atau pegawai di PMO, gunalah bahasa pentadbiran dan bukan bahasa politik lagi. Jangan ambil tindakan politik terhadap kerajaan lain kerana kerajaan negeri juga berdaulat dan perlu dihormati,” katanya. 

Tambahnya dalam keadaan kini, tindakan melobi agar individu tertentu ditukar serta didiskriminasi akan terlihat jelas kepada orang ramai dan sepatutnya apabila menjadi kerajaan mereka perlu bergerak sebagai pentadbir dan bukannya pembangkang. 

Ditanya kemungkinan akan mendedahkan surat tersebut jika terus ditekan, Muhammad Sanusi menyifatkan tidak perlu sampai ke tahap itu buat masa ini.

“Benda (surat) itu ada, tak payahlah sampai hujung lagi. ‘Main’ dulu separuh masa pertama, nanti pengadil tiup wisel untuk separuh masa kedua, kita masuk lain pula. Lakukan langkah demi langkah, tak bolehlah kira nak habiskan saja,” katanya.

Mengulas saranan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kedah, Datuk Mahfuz Omar agar beliau belajar daripada Menteri Besar Perlis dan Kelantan bagi menjaga hubungan baik dengan Kerajaan Persekutuan, Muhammad Sanusi berkata, beliau sebenarnya langsung tidak berniat mencari gaduh atau mempunyai masalah peribadi dengan sesiapa.

“Cumanya di Perlis dan Kelantan, tak ada orang yang bercakap perkara tidak benar tentang kedua-dua negeri itu. Tetapi di Kedah, ada perkara dijawab secara tidak benar oleh beberapa menteri termasuk Perdana Menteri.

“Saya hanya perbetul kesilapan mereka tetapi kenapa nak ‘panas’ dan ‘koyak’? Saya tak bergaduh pun dengan menteri malah ketika Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi datang ke Kedah pun, kami bergelak ketawa sebab beliau tak ada isu yang salah tentang Kedah,” katanya.

Dalam pada itu, beliau mempersoalkan mengapa perancangan ‘Greater Penang’ yang didakwanya sudah lama wujud dan mendapat sokongan kebanyakan agensi kerajaan seolah-olah memberi kelebihan kepada negeri itu sahaja kerana Pulau Pinang banyak bergantung kepada negeri-negeri lain termasuk Kedah dalam pelbagai aspek.

Katanya, beliau tidak berhasrat untuk menghalang pelaksanaan ‘Greater Penang’ jika ia sudah menjadi polisi, namun Kerajaan Persekutuan diharap tidak meletakkan batu penghalang kepada sebarang perancangan kerajaan negeri Kedah untuk membawa Kedah lebih maju. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya