MELAKA: Kerja-kerja yang renyah dan mengambil masa lama untuk menghasilkan songkok menyebabkan generasi muda tidak lagi berminat untuk menghasilkan hiasan kepala tradisional masyarakat Melayu itu.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, pemilik kedai songkok jenama ZW, Nor Wahida Yaakob, 40, berkata, disebabkan itu pembuatan songkok seolah-olah semakin pupus dan dilupakan kerana kekurangan pelapis.
“Dahulu saya bekerja sebagai juruteknik di sebuah kilang di Batu Berendam sebelum mengambil keputusan untuk berhenti dan membuka perniagaan sendiri. Saya belajar membuat songkok daripada ibu mentua yang merupakan suku Minangkabau, Indonesia.
“Saya mengambil masa selama enam bulan untuk mahir. Alhamdulillah, membuat dan menjual songkok kini menjadi sumber rezeki utama saya sejak 11 tahun lalu,” katanya
Berkongsi cara menghasilkan songkok, Nor Wahida berkata, proses bermula dengan memotong dan mengetuk kertas keras atau polan yang diperoleh daripada Indonesia.
Katanya, kemudian gam akan diletakkan dan selepas itu dijahit menggunakan mesin. “Akhir sekali songkok dijahit menggunakan tangan dengan teknik sembat.
Songkok yang saya hasilkan berharga antara RM20 hingga RM300 bergantung kepada jenis dan bahan yang digunakan,” ujarnya.-utusan










