PETALING JAYA: Malaysia menggesa supaya Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) dan masyarakat antarabangsa memastikan keselamatan anggota pengaman di bawah misi Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL).
Ia susulan kematian seorang anggota pengaman dan tiga lagi yang cedera dalam satu insiden di Ghanduriyah, semalam.
Wisma Putra dalam kenyataan berkata, Malaysia mengecam sekeras-kerasnya serangan berterusan terhadap anggota pengaman UNIFIL yang merupakan jenayah perang dan menuntut keadilan bagi setiap anggota pengaman yang terkorban dan cedera
“Malaysia menyeru masyarakat antarabangsa serta Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk mengambil langkah-langkah sewajarnya bagi memastikan keselamatan anggota pengaman UNIFIL.
“Malaysia menggesa semua pihak untuk menghormati gencatan senjata, meredakan ketegangan dan memberikan kerjasama penuh kepada UNIFIL dalam melaksanakan mandatnya di bawah Resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 1701(2006),” katanya.
Dalam pada itu, katanya, anggota tentera Batalion Malaysia (Malbatt) yang sedang berkhidmat di bawah panji UNIFIL dilaporkan berada dalam keadaan selamat. – UTUSAN










