SUNGAI PETANI: Seorang warga emas terkedu dan hanya mampu membaca surah al-Ikhlas berulang kali semasa melihat bumbung rumahnya diterbangkan angin dalam kejadian ribut di Kampung Masjid, Sungai Pasir di sini petang kelmarin.
Che Putih Darus, 73, berkata, ketika kejadian kira-kira pukul 5 petang itu, dia berada di halaman rumahnya manakala anak perempuan sulungnya, Zurina Keria, 56, berada di dalam rumah.
“Saya sedang memberi makan ayam peliharaan di bahagian belakang dapur rumah pusaka yang diduduki lebih 40 tahun ini sebelum terdengar deruman angin kuat menghampiri kawasan rumah.
“Terkejut ketika itu menyebabkan saya terlupa segala doa lain yang dihafal selama ini dan hanya mengulangi ayat pendek daripada surah al-Ikhlas sahaja dengan harapan rumah saya dihindari daripada sebarang bahaya,’ katanya ketika ditemui di rumahnya semalam.
Menurut Che Putih, angin kuat itu membadai rumahnya sehingga menyebabkan bahagian kerangka bumbung kediaman itu tercabut dan diterbangkan.
“Sebaik sahaja bumbung tercabut, hujan lebat mula tiba menyebabkan siling rumah basah serta air mencurah memasuki bahagian dalam rumah kami. Anak perempuan saya kemudiannya berlari keluar dan memaklumkan hampir keseluruhan perabot dan perkakas elektrik rosak terkena air,” katanya.
Che Putih berkata, walaupun kediamannya rosak dilanda ribut, dia tetap bersyukur kerana tiada kecederaan atau kemalangan jiwa berlaku.
“Ini merupakan kali pertama rumah saya terjejas akibat ribut dan pengalaman ini amat mengejutkan kerana kawasan ini bukannya laluan utama angin kuat sejak puluhan tahun lalu.
Sementara itu, anak ketiganya, Zamri, 52, berkata, dia menerima panggilan telefon daripada ibunya sejurus selepas kejadian sebelum bergegas balik ke Kampung Masjid dari kediamannya di Persiaran Bukit Bayan.
“Saya lega kerana ibu dan kakak tidak mengalami kecederaan dalam kejadian itu walaupun banyak kerosakan yang perlu dibaiki,” katanya.- utusan










