Rombakan besar-besaran pegawai kanan PDRM

Rombakan besar-besaran pegawai kanan PDRM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA : Pertukaran jawatan membabitkan pegawai kanan sejak beberapa minggu ini berkemungkinan menyaksikan rombakan secara besar-besaran, bakal berlaku dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam tempoh terdekat ini.

Difahamkan, rombakan besar Bukit Aman dijangka berlaku dalam tempoh beberapa bulan ini, susulan persaraan yang sedang berlaku ketika ini.

Turut menjadi teka-teki iaitu calon yang bakal memegang ‘kerusi panas’ jawatan nombor satu PDRM selepas Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani akan menamatkan kontraknya pada Oktober ini.

Ini kerana difahamkan, jawatan Acryl Sani berkemungkinan akan ditamatkan memandangkan beliau telah disambung kontraknya sebelum ini.

ACRYL SANI ABDULLAH SANI

Mengikut tradisi, sudah pasti tugas menerajui pasukan itu akan diserahkan kepada timbalannya, iaitu Tan Sri Razarudin Hussain yang kontraknya telah disambung bagi tempoh dua tahun berkuat kuasa 16 Mac lalu sehingga 15 Mac 2025.

Dalam pada itu, nama beberapa nama pengarah di PDRM juga disebut-sebut bakal mengisi jawatan Timbalan Ketua Polis Negara sekiranya Razarudin menggantikan Acryl Sani.

Mereka yang disebut-sebut berkemungkinan dilantik memegang jawatan nombor dua pasukan itu adalah Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Datuk Seri Hazani Ghazali memandangkan beliau pegawai paling senior dalam kalangan 10 pengarah yang ada ketika ini.

Turut namanya disebut iaitu Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay yang akan bertukar sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) yang baharu berkuat kuasa 16 April ini.

Bagaimanapun, Utusan Malaysia difahamkan jawatan KPN dan timbalannya adalah Jawatan Khas di bawah Perkara 140 (4) dan (5) Perlembagaan Persekutuan di mana pelantikan tertakluk kepada perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Pada 7 April lalu, PDRM mengumumkan pertukaran dua pegawai kanan berkuat kuasa pada 8 Mei ini.

Mendahului senarai adalah Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Baharuddin Ahmad yang akan dilantik sebagai Timbalan Ketua Pengarah Keselamatan Negara (Komunikasi Strategik), Majlis Keselamatan Negara, Jabatan Perdana Menteri.

Jawatan beliau akan diganti Timbalan Pengarah Cawangan Khas I Bukit Aman, Datuk Mohd. Khalid Ismail dengan dinaikkan pangkat dengan memangku Gred VUYA5 (JUSA A).

Sebelum itu, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain juga dilantik sebagai Ketua Polis Kuala Lumpur yang baharu menggantikan Datuk Azmi Abu Kassim yang telah diumumkan sebagai Pengarah Pengurusan Bukit Aman yang baharu.

Pada 14 Mac lalu, Urusetia PDRM mengumumkan pelantikan Azmi sebagai Pengarah Jabatan Pengurusan susulan persaraan wajib penyandang jawatan itu sebelum ini, iaitu Datuk Seri Zaini Jass pada 9 Mac lalu. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×