Rakyat Malaysia di Sudan diancam peluru sesat

Rakyat Malaysia di Sudan diancam peluru sesat

SEBAHAGIAN rakyat Malaysia menaiki kapal Tentera Laut Diraja Arab Saudi. - FOTO/IHSAN WISMA PUTRA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Diancam peluru sesat dan pengalaman berlindung di tengah-tengah kawasan peperangan adalah antara detik paling sukar dihadapi rakyat Malaysia di Sudan.

Itu antara pengalaman mengerikan dikongsi rakyat Malaysia yang terperangkap di Sudan beberapa hari lalu sebelum mereka berjaya dibawa keluar dari negara bergolak itu.

Detik cemas itu dikongsi Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir dalam sidang akhbar hari ini.

Menurutnya, beliau dimaklumkan, rakyat Malaysia yang berlindung sementara di Kompleks Petronas Sudan turut diancam peluru-peluru sesat.

“Saya dimaklumkan, pada Hari Raya Aidilfitri pertama dan kedua, peluru-peluru sesat dikesan menembusi tingkap di kompleks itu di mana di dalamnya kakitangan kedutaan sedang berlindung.

“Bagaimanapun, mereka terselamat dan tiada kecederaan. Mereka akhirnya berjaya dibawa keluar dari kompleks itu menuju ke Rumah Malaysia Sudan ketika tempoh genjatan senjata selama tiga jam.

“Ia suatu keadaan yang amat berisiko di mana jarak perjalanan dari kompleks ke Rumah Malaysia mengambil masa selama empat jam,” katanya.

Katanya, risiko terbesar dihadapi rakyat Malaysia di Sudan adalah terpaksa menempuh perjalanan selama 30 jam dari Khartoum ke Port Sudan untuk ke Jeddah.

Zambry berkata, kumpulan rakyat Malaysia itu terpaksa menempuh perjalanan yang begitu jauh dalam keadaan negara yang diletakkan dalam perintah berkurung.

“Ada ketikanya tayar kenderaan pecah menyebabkan mereka terpaksa menunggu berjam-jam ditepi jalan sementara menunggu bantuan tiba.

“Tempoh perjalanan yang agak lama adalah risiko terbesar dihadapi mereka. Namun, alhamdulillah mereka semua selamat biarpun nampak keletihan,” katanya.

Dalam pada itu, Zambry berkata, Kompleks Petronas di Sudan diambil alih secara paksa oleh pasukan separa tentera dan dijadikan pusat pemerhatian mereka.

“Ini kerana kompleks itu berada tidak jauh daripada Kementerian Pertahanan Sudan,” katanya.

Sudan kini bergolak susulan pertempuran yang meletus antara Tentera Sudan (SAF) dan pasukan separa tentera Rapid Support Forces (RSF) di Khartoum serta kawasan sekitar sejak 15 April lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya