128 wartawan terbunuh di seluruh dunia pada 2025

128 wartawan terbunuh di seluruh dunia pada 2025

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BRUSSELS: Sebanyak 128 wartawan terbunuh di seluruh dunia sepanjang tahun 2025, dengan lebih separuh daripada jumlah itu berlaku di Asia Barat, menurut Persekutuan Wartawan Antarabangsa (IFJ) pada Khamis.

Setiausaha Agung IFJ, Anthony Bellanger berkata, jumlah kematian yang meningkat berbanding 2024 itu bukan sekadar statistik, sebaliknya satu isyarat amaran merah global kepada rakan-rakan sekerja dalam bidang ini.

IFJ menyuarakan kebimbangan serius terhadap keadaan di wilayah Palestin, dengan 56 pengamal media direkodkan terbunuh pada 2025 ketika konflik Israel–Hamas berterusan di Gaza.

“Kami tidak pernah menyaksikan situasi seperti ini, begitu banyak kematian dalam tempoh singkat, di kawasan yang begitu kecil,” kata Bellanger kepada AFP.

Selain itu, wartawan turut terbunuh di Yemen, Ukraine, Sudan, Peru, India dan beberapa negara lain.

Bellanger juga mengkritik sikap lepas tangan dan ketiadaan tindakan tegas terhadap pihak yang bertanggungjawab atas serangan berkenaan.

“Tanpa keadilan, ia membolehkan pembunuh wartawan terus bermaharajalela,” tegasnya.

Dalam perkembangan berkaitan, IFJ memaklumkan 533 wartawan kini dipenjarakan di seluruh dunia, angka yang lebih dua kali ganda meningkat dalam tempoh lima tahun lalu.

China sekali lagi menduduki tempat teratas sebagai negara paling ramai memenjarakan wartawan, dengan 143 orang ditahan, termasuk di Hong Kong, di mana pihak berkuasa dikritik oleh negara Barat susulan penguatkuasaan undang-undang keselamatan negara yang didakwa menyekat kebebasan bersuara.

IFJ turut menjelaskan, jumlah kematian wartawan yang direkodkannya lazimnya lebih tinggi berbanding Reporters Without Borders (RSF) berikutan perbezaan kaedah pengiraan. Angka IFJ tahun ini juga merangkumi sembilan kematian akibat kemalangan.

Sementara itu, RSF merekodkan 67 wartawan maut ketika menjalankan tugas pada tahun ini, manakala Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu untuk Pendidikan, Sains dan Kebudayaan (UNESCO) menganggarkan jumlahnya seramai 93 orang. -AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×