Dua beradik lemas di Pantai Sura Tengah

Dua beradik lemas dipukul ombak di Pantai Sura Tengah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUNGUN: Dua beradik lemas selepas dipukul ombak ketika mandi di Pantai Sura Tengah, di sini hari ini.

Kejadian kira-kira pukul 10.30 pagi itu berlaku ketika dua beradik berkenaan yang berasal dari Kampung Paya Balai Besar di sini sedang berkelah bersama ahli keluarga mereka.

Mayat Nor Baizura Shafie,39,  ditemukan kira-kira pukul 10.54 pagi manakala adiknya, Mohd Fazir, 37, belum dijumpai. 

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Dungun, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Sharizal Samsuddin berkata, pasukan penyelamat menemukan salah seorang mangsa selepas 25 minit melakukan pencarian namun disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan di lokasi kejadian. 

“Pencarian seorang lagi mangsa masih diteruskan dengan menggunakan bot dan turut dibantu anggota polis dan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia,” katanya hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Superintenden Maizura Abdul Kadir berkata, sebelum kejadian keluarga itu yang terdiri daripada tujuh dewasa dan lapan kanak-kanak datang berkelah di pantai itu. 

“Difahamkan, kejadian berlaku apabila kakak mangsa tiba-tiba lemas ketika mandi dan adiknya, Mohd Fazir mahu menyelamatkan kakaknya. Bagaimanapun, kedua-dua mereka dipercayai hanyut dipukul ombak,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN