Raja Perlis, Raja Perempuan Perlis zahirkan ucapan selamat Hari Raya Aidilfitri - Utusan Malaysia

Raja Perlis, Raja Perempuan Perlis zahirkan ucapan selamat Hari Raya Aidilfitri

RAJA Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dan Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Almarhum Tengku Abdul Rashid menzahirkan ucapan selamat menyambut Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh rakyat Perlis.- UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dan Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Almarhum Tengku Abdul Rashid menzahirkan ucapan selamat menyambut Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh rakyat Perlis, kaum kerabat dan kenalan baginda berdua.

Baginda berdua juga menzahirkan ucapan maaf zahir dan batin dengan tulus ikhlas kepada seluruh umat Islam tidak kira di mana sahaja mereka berada.

Baginda bertitah demikan selepas berkenan menerima sembah mengadap kaum kerabat Diraja Perlis serta kenalan rapat, sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri di Istana Perlis Kuala Lumpur, semalam.

Mengiringi sama, adalah Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail; Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil beserta anakanda-anakanda baginda berdua iaitu Sharifah Khatreena Nuraniah, Sharifah Farah Adriana dan Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail.

Titah baginda lagi, Syawal yang mulia ini adalah hari yang tepat untuk terus mengeratkan lagi hubungan silaturahim yang sudah lama terjalin antara semua, di samping dapat berkumpul beramai-ramai kembali.

Tuanku Syed Sirajuddin dan Tuanku Tengku Fauziah turut mendoakan semoga negeri Perlis serta rakyatnya terus diberkati dan dianugerahkan Allah SWT dengan taufik dan hidayah, aman sentosa, kesihatan diri dan keluarga tersayang, serta hidup bersatu padu di bawah lindungan-Nya.

Baginda berdua pada tahun ini tidak dapat mengadakan majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri @ Istana Arau atau istana terbuka untuk dihadiri rakyat jelata memandangkan baginda masih bersemayam berehat di ibu negara untuk pulih daripada pembedahan buku lali dan kaki kanan baru-baru ini.

Untuk rekod, Tuanku Syed Sirajuddin baru sahaja menyambut ulang tahun ke-23 sebagai Raja Perlis pada 17 April 2023.

Baginda telah dimasyhurkan sebagai Raja Perlis pada 17 April 2000 bagi menggantikan Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail.

Semoga Raja Perlis dan Tuanku Raja Perempuan Perlis beserta seluruh usrah Diraja negeri Perlis terus dilimpahkan kurnia panjang umur, sihat dan sentiasa berada dalam lindungan Allah SWT sentiasa.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya