Puteri Sarah failkan nusyuz terhadap Syamsul - Utusan Malaysia

Puteri Sarah failkan nusyuz terhadap Syamsul

SYAMSUL YUSOF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelakon, Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin berkemungkinan akan memfailkan tuntutan nusyuz terhadap suaminya, Syamsul Yusof.

Menurut peguam bela, Datuk Akberdin Abdul Kader yang mewakili wanita itu, tuntutan tersebut merupakan antara perkara yang boleh dilakukan namun memerlukan masa untuk memperhalusinya.

“Kita akan uruskan, akan atur apa benda yang akan dibuat. Kalau ada perkara yang hendak dibuat, ia akan dibuat ikut undang-undang.

“Dalam masa terdekat ini, kita akan memasukkan pembelaan terhadap nusyuz (oleh Syamsul). (lepas ini) kita tengok nak masukkan tuntutan balas atau nusyuz pihak sana pula,” katanya ketika ditemui selepas sebutan kes nusyuz di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur dekat sini.

Ditanya sekali lagi mengenai tuntutan nusyuz terhadap Syamsul itu, peguam terbabit menyatakan ia antara perkara boleh dilakukan dan ia yang sedang difikirkan.

Nusyuz merupakan permohonan untuk mensabitkan seseorang isteri telah derhaka atau tidak patuh kepada perintah suaminya.

Jika disabitkan dengan nusyuz, seorang isteri tidak berhak untuk menerima nafkah sejak disabitkan dengan kesalahan itu.

Sementara itu, seorang suami boleh disabitkan dengan nusyuz sekiranya beliau antaranya mengabaikan nafkah zahir batin, menyuruh isteri melakukan perkara yang bertentangan hukum syarak, memukul isteri dan tidak berlaku adil (bagi yang berpoligami).

Bagaimanapun, penalti atau hukuman yang boleh dikenakan kepada suami yang nusyuz adalah bergantung kepada jenis kesalahan yang dilakukan.

Pada 21 Mac lalu, Syamsul atau nama penuhnya, Mohd. Syamsul Md. Yusof memfailkan permohonan nusyuz terhadap Sarah atas alasan wanita itu masih menghubungi bekas kekasihnya di zaman kolej walaupun lelaki itu sudah beristeri.

Selain itu, Syamsul turut mendakwa Sarah telah keluar daripada rumah kelamin mereka selama dua tahun, enggan kembali taat kepada suami walaupun pelbagai usaha telah dibuat dan mengeluarkan kenyataan tidak benar dan berbaur fitnah terhadap Syamsul.

Terdahulu, Hakim Syarie, Maizatul Aliza Chee Din menetapkan 8 Mei ini untuk sebutan semula tuntutan nusyuz yang difailkan Syamsul.

Ia selepas Akberdin memaklumkan pihaknya memerlukan masa untuk memfailkan pembelaan terhadap tuntutan tersebut.

Pada prosiding hari ini, Sarah tidak hadir kerana masih berada di Jakarta atas urusan kerja manakala Syamsul hadir ditemani peguam syarienya, Azmi Rais.

Pada 16 Januari lalu, Sarah memfailkan permohonan cerai secara baik terhadap suaminya atas alasan telah berlaku shiqaq (perbalahan berpanjangan) dan tidak lagi hidup sebagai suami isteri.

Pada 10 April ini, Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur akan mendengar hasil pertemuan wakil-wakil Syamsul dan Sarah dalam Jawatankuasa Pendamai (JKP). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.