PROMAK sedia menu seimbang – Guru - Utusan Malaysia

PROMAK sedia menu seimbang – Guru

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“SAYA melihat PROMAK sebagai rezeki yang tepat untuk anak-anak yang sangat memerlukan bantuan demi kelangsungan pelajaran mereka,” kata Guru Besar, Sekolah Kebangsaan Kampung Kandis, Pasir Putih, Kelantan, Mohd Zulkifli Nor.

Katanya, secara zahirnya, PROMAK dilihat sebagai bantuan makanan kepada pelajar, tetapi impak program ini adalah meluas dalam melahirkan generasi yang cemerlang.

“Dengan PROMAK, pelajar makan bukan sekadar untuk kenyang tetapi untuk sihat,” kata Zulkifli

Sentimen yang sama turut dikongsi oleh Guru Penyelia PROMAK di Sekolah Kebangsaan Keruak, Besut, Terengganu, Saliza Ali.

SALIZA ALI

Kata semua 315 pelajar SK Keruak menerima bantuan PROMAK dan makanan seimbang ini amat perlu dalam meningkatkan kecemerlangan pelajar.

“Guru-guru di SK Keruak pula kini lebih berpeluang memperbanyakkan aktiviti murid di sebelah petang kerana peruntukan untuk makanan murid telah tersedia. Ini bukan sahaja membantu pihak sekolah merancang perbelanjaan dengan lebih berkesan, malah ibu bapa juga tidak terbeban dengan belanja harian tambahan,” tambah Saliza.

SK Kampung Kandis dan SK Keruak merupakan antara sekolah luar bandar yang mana hampir keseluruhan pelajarnya datang daripada keluarga kurang kemampuan dan rata-rata bekerja sebagai petani, nelayan, buruh binaan dan kerja-kerja kampung.

KEHADIRAN LEBIH BAIK

Menurut pihak sekolah lagi, antara kesan nyata yang dapat dilihat sejak PROMAK diperkenalkan adalah dari segi peningkatan kehadiran pelajar ke sekolah.

SK Kampung Kandis menyasarkan 93 peratus kehadiran pelajar dan sasaran ini dapat dicapai dengan bantuan program makan tengahari ini.

Murid sudah tidak berdepan masalah ‘duit belanja’ untuk makan di sekolah apabila mereka perlu menghadiri kelas al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA) di sebelah petang yang akan bermula pada pukul 1.30 petang sehingga 5 petang.

Bekalan makan tengah hari yang mencukupi dan seimbang amat penting untuk kesediaan fizikal dan minda murid-murid bagi menghadapi sesi PdP yang panjang.

“Dahulunya, pelajar akan pulang ke rumah dahulu sebelum menghadiri kelas di sebelah petang untuk makan dan kebanyakkannya tidak akan kembali. Kini, mereka tiada keperluan untuk pulang, yang dahulunya suka ponteng kini sudah mula berada dalam kelas,” kongsi Penolong Kanan Hal Ehwal Pelajar (HEP) SK Kampung Kandis, Rosdi Abdul Rahman.

TINGKAT KEYAKINAN PELAJAR

MOHD ZULKIFLI NOR

Sejak setahun diperkenalkan, kesan positif PROMAK turut dapat dilihat dari segi tumbesaran murid lebih terancang.

Perkongsian bersama guru di SK Kandis mendapati bahawa ada murid yang belajar dalam Tahun 3 tetapi memiliki saiz fizikal murid Tahun 1.

Diet yang seimbang ini turut membantu mengawal isu obesiti di kalangan murid apabila makanan yang dimakan dirancang dari segi kuantiti dan khasiatnya.

Seiring dengan kehadiran PROMAK, murid lebih peka dan lebih tahu tentang khasiat dan kebaikan makanan yang dimakan kepada diri mereka.

Zulkifli menambah, pihak sekolah amat berpuas hati dengan usaha bersepadu seumpama ini yang memberikan tumpuan khusus kepada kesejahteraan kanak-kanak yang pastinya mempunyai implikasi yang besar kepada generasi akan datang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN