Negara haram yang memagar diri bagai aur

Negara haram yang memagar diri bagai aur

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEBUAH armada kecil yang bukan kapal perang, tidak membawa senjata atau peluru melainkan ubat-ubatan, makanan dan rakyat biasa yang hanya mengusung harapan. Itulah misi Global Sumud Flotilla (GSF), sebuah gelombang keberanian yang menantang tembok kekejaman di perairan Gaza.

Namun, apa yang dilakukan Israel? Mereka menyekat lebih daripada 40 kapal GSF dengan alasan dangkal.

Tetapi sebenarnya apa yang negara haram itu takutkan? Bukan peluru, bukan senjata. Mereka takut pada ‘harapan’. Harapan yang dibawa oleh kapal-kapal yang mengingatkan dunia akan kemanusiaan dan perjuangan moral tanpa darah dan senjata.

Para aktivis, termasuk wira Malaysia yang ditahan bukan sekadar berkorban. Mereka adalah simbol sebuah jihad moral melawan kezaliman yang tidak berperikemanusiaan. Mereka berjuang dengan nyawa, keberanian dan prinsip, bukan dengan bom atau peluru.

Dalam bahasa Melayu, ada peribahasa ‘memagar diri bagai aur’ yang bermaksud hanya mementingkan diri sendiri. Itulah secebis kotonasi bagi pemerintah rejim yang menutup mata pada penderitaan rakyat Gaza, tetapi begitu takut pada gelombang kecil kapal penuh harapan.

GSF adalah misi bantuan laut terbesar sejak serangan terhadap Gaza pada Oktober 2023. Mereka membawa harapan kepada lebih dua juta penduduk Gaza yang hidup dalam belenggu kemiskinan akibat sekatan darat, laut dan udara.

Namun, sebelum kapal-kapal itu sampai ke perairan Gaza, mereka sudah diserbu. Bukan di wilayah Palestin, tetapi di perairan antarabangsa.

Alasan yang diberikan bahawa bantuan itu akan disalahgunakan oleh Hamas. Bagaimana mungkin ubat-ubatan dan susu bayi menjadi ancaman bagi sebuah negara yang memiliki senjata nuklear?.

Penahanan flotilla bukan sekadar insiden biasa. Ia bahagian daripada strategi besar Israel untuk menutup mata dunia terhadap penderitaan dan kekejaman yang terus berlangsung di Gaza.

Yang lebih menyedihkan, negara-negara yang kononnya pejuang hak asasi manusia seperti Amerika Syarikat (AS) kian bungkam, malah menyokong tindakan Israel.

Hipokrasi geopolitik yang nyata, ketika Russia menyerang Ukraine, mereka lantang memperjuangkan kebebasan tetapi ketika Israel menyerang Gaza dan menahan kapal kemanusiaan, mereka diam membisu.

Di Malaysia, kemarahan membara. Kerajaan dan rakyat bersatu mengecam tindakan Israel. Perdana Menteri, Menteri Luar dan pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO)menyatakan sokongan penuh kepada flotilla serta melancarkan langkah diplomatik. Namun, apakah itu cukup?

Reaksi rakyat jelas iaitu ‘marah’ tetapi juga ‘bangga’. Marah kerana wira-wira kita ditahan tanpa alasan yang sah. Bangga kerana mereka mewakili keberanian sejati melawan tanpa senjata, namun penuh dengan semangat dan keyakinan.

Solidariti ini bukan hanya di jalanan atau media sosial tetapi juga dalam doa. Namun, solidariti tidak boleh berhenti pada simpati semata-mata. Harus ada gerakan berterusan yang konsisten dalam politik, ekonomi dan budaya. – UTUSAN

Hadi Ab. Manap ialah Penolong Pengarang Berita Utusan Malaysia