PETALING JAYA: Pengasas dan Timbalan Pengerusi Eksekutif Kumpulan Matrix Concepts Holdings Bhd, Datuk Seri Lee Tian Hock memindahkan 10 juta saham biasa dalam syarikat kepada anaknya, Kelvin Lee Chin Chuan yang juga Pengarah Eksekutif Kumpulan.
Menurut kenyataannya, urus niaga pada 30 September lalu itu meningkatkan pegangan kepentingan langsung Chin Chuan dalam syarikat kepada 26.34 juta saham atau kira-kira 1.403 peratus.
Beliau turut mengekalkan kepentingan tidak langsung sebanyak tiga juta saham atau 0.16 peratus kepentingan melalui isterinya.
Secara keseluruhan, Chin Chuan kini memiliki 29.34 juta saham Matrix Concepts secara langsung dan tidak langsung.
Tambahnya, pemindahan tersebut dilaksanakan menerusi RHB Nominees (Tempatan) Sdn. Bhd. RHB Asset Management bagi pihak Chin Chuan tanpa sebarang pertimbangan nilai.
Notis perubahan pegangan telah dikemukakan pada 1 Oktober 2025 dan diterima oleh syarikat pada hari sama.
Matrix Concepts berkata, syarikat kekal komited terhadap ketelusan serta pematuhan kepada keperluan penyenaraian Bursa Malaysia.
“Pemindahan saham tersebut jelas merupakan pengagihan semula dalaman antara pengarah dan tidak memberi kesan kepada hala tuju strategik, struktur tadbir urus mahupun kesinambungan operasi syarikat.
“Lembaga Pengarah turut menegaskan bahawa Tian Hock dan Chin Chuan terus memainkan peranan penting dalam kepimpinan syarikat bagi memacu pertumbuhan berterusan, dengan memberi tumpuan kepada penciptaan nilai mampan untuk semua pihak berkepentingan.
“Chin Chuan akan memacu fasa seterusnya perjalanan Matrix Concepts dengan membawa tenaga baharu serta visi inovasi. Syarikat optimis untuk terus memperkukuh kedudukannya sebagai pemaju hartanah terkemuka dan jenama dipercayai,” katanya. – UTUSAN










