PRN: PH Pulau Pinang dijangka pertahan kerusi DUN masing-masing - Utusan Malaysia

PRN: PH Pulau Pinang dijangka pertahan kerusi DUN masing-masing

CHOW KON YEOW
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang dijangka mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing di negeri itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Pengerusi PH Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, setakat ini tidak ada penyandang daripada PH yang mahu melepaskan kerusi DUN yang telah ditandingi mereka pada pilihan raya sebelum ini.

”Saya percaya soalan ini rumit (penyandang mahu lepaskan kerusi DUN atau tidak) tetapi jawapannya senang, tidak ada penyandang yang mahu lepaskan kerusi.

”Perkara ini ada disebut dalam mesyuarat PH semalam, jika ada penyandang yang tidak mahu bertanding nanti kita boleh lihat parti mana yang boleh ambil alih kerusi DUN berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri pembukaan Penang Wesak Celebration 2023, di sini hari ini.

Semalam, PH Pulau Pinang mengadakan mesyuarat berhubung persediaan PRN dan mesyuarat dengan UMNO dijangka berlangsung minggu depan.

Pulau Pinang mempunyai 40 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan pada pilihan raya umum 2018, PH telah memenangi 37 kerusi, termasuk kerusi-kerusi DUN daripada calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang ketika itu masih menjadi sebahagian daripada PH.

BN menang dua kerusi DUN iaitu Sungai Dua dan Permatang Berangan, manakala Pas mempunyai satu kerusi, Penaga.

Mengulas lanjut, Kon Yeow berkata,
beliau tidak dapat memperincikan secara lanjut berhubung soal pembahagian kerusi kerana PH akan mengadakan mesyuarat dengan UMNO dan Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang bagi membincangkan isu yang sama.

”Semalam, Majlis Pimpinan PH telah mengadakan mesyuarat untuk tentukan pembahagian kerusi PH bagi PRN akan datang dan memandangkan kali ini ia melibatkan gabungan daripada parti luar PH, maka apa yang telah diputuskan PH Pulau Pinang tertakluk kepada rundingan yang seterusnya.

”Sekurang-kurangnya mesyuarat semalam telah menentukan kedudukan parti-parti dalam PH (Pulau Pinang) berhubung dengan kerusi-kerusi yang akan kami tandingi nanti. PH telah ada satu kedudukan (ketetapan kerusi) untuk kita bawa kepada rundingan seterusnya bersama UMNO dan BN,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya