PRN: Pembahagian kerusi PH-BN dimuktamad selepas DUN bubar - Utusan Malaysia

PRN: Pembahagian kerusi PH-BN dimuktamad selepas DUN bubar

MOHAMAD Hasan menyambut tetamu yang hadir ke majlis rumah terbukanya sempena sambutan Aidilfitri di Kampung Tanjung, Rantau, Seremban hari ini.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Pembahagian kerusi di antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam buah negeri hanya akan dimuktamadkan selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) terlibat dibubarkan.

Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, keutamaan ketika ini perlulah diberikan mengenai gerak kerja untuk menghadapi PRN tersebut dengan fokus memastikan gabungan kerjasama di antara blok PH dan BN dapat memenangi PRN kelak.

“Pembahagian kerusi belum buat lagi, biar kita buat gerak kerja dahulu. kalau kita cerita pasal kerusi memang akan ada masalah, kerusi DUN ini akan dibuat pembahagian selepas DUN dibubarkan. Pada waktu itu saya rasa kita memang tiada pilihan untuk bersetuju dan seterusnya pergi menghadapi PRN.

“Kalau daripada sekarang kita cakap pasal kerusi, memang masing-masing tidak mahu beralah dan nanti bergaduh sesama sendiri, tidak guna juga, jangan cerita pasal kerusi dahulu. 

“Fikir bagaimana kita mahu menang dan sekarang ini kita ada kawasan yang mana kita menang dan kita kalah itu perlu kita fokuskan supaya tidak tergelincir dari keutamaan iaitu mahu menang. Kita mahu menang, bukan kira berapa kerusi BN atau PH mahu berapa, kita mahu menang di bawah Kerajaan Perpaduan,” katanya.

Mohamad yang juga Menteri Pertahanan dan Ahli Parlimen Rembau berkata demikian kepada pemberita pada majlis rumah terbuka sempena Aidilfitri yang dianjurkannya di Kampung Tanjung, Rantau di sini hari ini.

Yang turut hadir pada majlis tersebut ialah Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Sementara itu, beliau menjelaskan, memang perundingan kerusi telah diadakan di antara PH dan BN di peringkat negeri terlibat bagaimanapun pembahagian akhir hanya akan diputuskan di peringkat Pusat.

“Saya sudah sudah minta BN di negeri-negeri berunding tetapi mereka tidak buat keputusan di negeri, keputusannya nanti di Pusat. Rundingan juga di antara dua blok iaitu BN dan PH dan bukan misalnya di antara BN dan Amanah atau UMNO dengan PKR.

“PH biarkan mereka berunding antara mereka terlebih dahulu dan BN runding sesama kita, apabila sudah sampai masa kita perlu lakukan keputusan pembahagian kerusi kami akan duduk bersama.

“Seperti saya katakan, kita tidak perlu bising sangat kerana kita mahu menang, Kerajaan Perpaduan mahu menang, kita sering diperlekehkan sehingga mereka (Perikatan Nasional) katakan mahu menang di Negeri Sembilan dan mahu ambil Selangor.

“Ini satu cabaran untuk kita pastikan supaya di Negeri Sembilan ini kita kekalkan 100 peratus kerusi DUN dimenangi oleh BN dan PH,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya