Tuchel cabar England tundukkan Serbia

Tuchel cabar England tundukkan Serbia

Penyerang England, Harry Kane terlepas menjaringkan gol dalam aksi kelayakan Piala Dunia Kumpulan K menentang Andorra di Villa Park, Birmingham, kelmarin. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BIRMINGHAM: Thomas Tuchel mencabar pemain England untuk membuktikan sesuatu apabila berdepan Serbia pada aksi kelayakan Piala Dunia, esok selepas skuad kendaliannya bergelut menewaskan Andorra 2-0, semalam.

Gol sendiri Christian Garcia pada babak pertama di Villa Park dan tandukan Declan Rice selepas rehat membantu pendahulu Kumpulan K itu merekodkan empat kemenangan berturut-turut.

Walaupun England masih kekal di landasan ke Piala Dunia tahun depan, persembahan hambar itu menimbulkan persoalan mengenai kemampuan Tuchel membentuk pasukan terdiri daripada generasi berbakat besar untuk menjulang trofi tersebut

Tuchel mahukan persembahan lebih meyakinkan apabila England menentang pencabar utama Kumpulan K, Serbia di Belgrade.

“Kami akan cuba buktikan sesuatu, untuk menang dan mempamerkan persembahan seterusnya dan tampil kuat dalam keadaan yang sukar.

“Kami menjangka stadium yang penuh, penyokong yang fanatik. Kami juga perlu menyesuaikan diri dengan keadaan. Kami tidak tahu bagaimana keadaan padang, jadi tiada alasan,” katanya.

Jelasnya, aksi berdepan Serbia akan menjadi perlawanan paling mencabar dalam eranya setakat ini dan akui lawannya itu memiliki fizikal yang baik.

“Kami bakal menentang pasukan yang sangat fizikal. Mereka akan menyerang kami secara satu lawan satu. Itu yang kami lihat setakat ini.

“Mereka ada kualiti tinggi di bahagian serangan, mereka bermain secara terus dan kami perlu tingkatkan permainan serta menyesuaikan diri. Kemudian buktikan bahawa kami sebuah pasukan yang kuat dan berada di landasan tepat,” ujarnya.

Dengan masa semakin suntuk menuju Piala Dunia di Amerika Syarikat, Mexico dan Kanada, Tuchel berdepan tekanan untuk membina pasukan dengan identiti jelas serta matlamat kukuh.

Walaupun England mempamerkan prestasi tidak menentu sejak pelantikannya, Tuchel yakin pasukannya sedang menunjukkan kemajuan.

“Secara keseluruhan terdapat lebih banyak perkara positif berbanding negatif hari ini. Saya rasa ia langkah baik.

“Kami perlu memberikan segala-galanya dalam perlawanan, sudah tentu apabila berdepan pasukan bertahan (Andorra) ia beri sedikit kesukaran. Apa pun ia masih satu persembahan yang baik dan keputusan yang berbaloi,” kata Tuchel. – AFP/UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×