IKON @ Centrio jadi nadi komersial di Seremban 2

IKON @ Centrio jadi nadi komersial di Seremban 2

IKON @ Centrio di Seremban 2 dibangunkan dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM206 juta.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IKON @ Centrio oleh IJM Land Berhad, pemangkin komersial terbaharu dalam perbandaran Seremban 2 dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM206 juta kini memulakan penyerahan unit kepada pembeli secara berfasa bagi memastikan piawaian kualiti.

Langkah itu menandakan fasa baharu buat komuniti perniagaan dan pelabur apabila hab komersial moden ini mula merancakkan aktiviti ekonomi di kawasan berkenaan.

Ketua Pegawai Operasi IJM Land, Datuk Chai Kian Soon berkata, ia terletak di satu daripada zon komersial paling aktif di Seremban 2 dan dijangka memanfaatkan pertumbuhan pesat dan permintaan tinggi dalam kawasan berpenduduk lebih 60,000 orang serta komuniti sekitar melebihi 100,000.

Jelasnya, seiring perniagaan mula beroperasi secara berperingkat, IKON @ Centrio diyakini akan meningkatkan lagi pertumbuhan komersial Seremban 2, sekali gus mewujudkan hab serba lengkap untuk penduduk serta destinasi baharu yang menarik pengunjung dan peluang perniagaan dari wilayah berdekatan.

“Terletak di atas tanah seluas 10.84 hektar, IKON @ Centrio menampilkan kedai gaya hidup dua dan tiga tingkat dengan reka bentuk moden dengan pintu masuk luas, panel kaca besar dan keterlihatan utama yang menggalakkan aliran pengunjung serta pencahayaan semula jadi.

“Unit sudut tiga tingkat dengan dwi-frontage menawarkan platform sesuai untuk pejabat korporat, kedai mercu jenama (flagship) atau restoran konsep.

“Saiz unit antara 3,537 hingga 7,305 kaki persegi memberikan fleksibiliti kepada perniagaan untuk membentuk ruang mengikut aspirasi mereka,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Kian Soon berkata, lokasinya turut mempunyai akses terus ke Lebuhraya Utara–Selatan (PLUS), Lebuhraya Utara Selatan Hubungan Tengah (ELITE) dan Lebuhraya Kajang–Seremban (LEKAS).

“Ini selain mempunyai jaringan jalan dalaman yang terancang, menghubungkan kawasan ini dengan Kuala Lumpur, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan wilayah berdekatan.

“Dengan siapnya IKON @ Centrio, Seremban 2 melangkah sebagai destinasi komersial utama dalam koridor Malaysia Vision Valley 2.0 (MVV2).

“Seiring pelaburan besar yang terus mengalir ke Negeri Sembilan, kami menjangkakan kemasukan lebih ramai profesional mahir dan pelabur yang mencari perbandaran dengan gaya hidup bandar moden, kemudahan di depan pintu, keselamatan dan aksesibiliti yang lancar.

“IKON @ Centrio, bersama projek kediaman IKON Residences yang bakal dilancarkan akan memenuhi permintaan ini dengan mewujudkan hab bertenaga dan mampan, sekali gus mengukuhkan kedudukan Seremban 2 sebagai alamat utama perniagaan dan gaya hidup,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, apabila perniagaan mula beroperasi, IKON @ Centrio dijangka mewujudkan peluang pekerjaan, menarik lebih ramai pengunjung dan memacu peningkatan nilai hartanah di Seremban 2.

Dalam pada itu, beliau berkata, perkembangan itu turut disokong oleh pra pelancaran IKON Residences pada suku ketiga 2025, pembangunan 44 tingkat pegangan bebas yang terletak betul-betul berhadapan IKON @ Centrio dengan GDV RM380 juta.

“Sebagai menara kediaman tertinggi di Seremban 2, IKON Residences akan menawarkan pemandangan panoramik, ruang kediaman kontemporari serta kemudahan moden berkonsepkan gaya bandar, disempurnakan oleh persekitaran hijau.

“Kehadiran IKON Residences akan menambah nilai kediaman di kawasan berkenaan di samping memperkukuh kejayaan komersial IKON @ Centrio.

“Sinergi antara kedua-dua pembangunan ini dijangka merancakkan kunjungan ke IKON @ Centrio dan mewujudkan presint bersepadu yang bertenaga serta saling terhubung, menjadikan Seremban 2 antara alamat paling strategik untuk kediaman dan perniagaan,” ujarnya.

Tambahnya, IKON Residences menyambung visi mereka untuk membentuk Seremban 2 sebagai perbandaran moden dan berhubung baik.

“Dengan lokasi strategik dan tawaran gaya hidup bersepadu, IKON Residences direka untuk menarik pembeli rumah serta pelabur yang mencari nilai jangka panjang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN