PETALING JAYA: Enam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan berlangsung pada tahun ini dijangka memberi kesan besar terhadap ‘ketahanan’ Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-10.
Veteran DAP, Lim Kit Siang berkata, pilihan raya negeri itu akan menjadi ujian besar yang seterusnya kepada Anwar selepas melalui beberapa ujian di awal pelantikannya sebagai ketua kerajaan Persekutuan.
Bagaimanapun, bekas Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu berkata, Anwar diyakini mampu melengkapkan penggalnya sebagai Perdana Menteri kerana beliau telah melepasi beberapa ujian mentadbir negara.
Katanya, antara ujian tersebut ialah usul kepercayaan di Dewan Rakyat terhadapnya, usul Menjunjung Kasih Titah Diraja sempena pembukaan Parlimen ke-15 dan kelulusan Belanjawan 2023.
Sekiranya beliau diminta memberi markah kemungkinan Anwar untuk kekal sebagai ketua kerajaan, katanya, kemungkinan beliau bertahan untuk setahun ialah 90 peratus.
“80 peratus kemungkinan Anwar bertahan sebagai Perdana Menteri untuk tiga tahun dan 70 peratus kemungkinan beliau bertahan sebagai Perdana Menteri untuk penggal penuh lima tahun.
“Ini juga mengambil kira kegagalan pimpinan Perikatan Nasional (PN) di Parlimen untuk menjalankan tanggungjawab mereka dan kegagalan menyahut titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong semasa istiadat Pembukaan Parlimen bahawa Malaysia memerlukan kestabilan politik.
Dalam pada itu, Kit Siang berkata, unsur penting yang menentukan ketahanan Anwar sebagai Perdana Menteri adalah UMNO dapat memainkan peranan penting menetapkan semula dan mengembalikan negara kepada prinsip asal pembinaan negara seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara.
“Prestasi buruk UMNO dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) menjadi bukti bahawa kepercayaan yang pengundi Melayu akan kekal setia dengan ‘bossku’ walaupun selepas disabitkan dengan pelbagai pertuduhan berkaitan dengan 1MDB (1Malaysia Development Berhad) adalah satu kesilapan.
“Ini kerana sekiranya perkara ini betul, UMNO sepatutnya menyaksikan kebangkitan dan bukannya kekalahan besar dalam pilihan raya umum pada November tahun lepas,” katanya. – UTUSAN










