Polis buru warga asing terlibat kes pecah kenderaan, curi wang zakat RM22,000 - Utusan Malaysia

Polis buru warga asing terlibat kes pecah kenderaan, curi wang zakat RM22,000

YUSHARIFUDDIN Mohd Yusop (dua dari kiri) menunjukkan lakaran wajah seorang lagi suspek warga asing yang sedang diburu polis selepas dipercayai terlibat dengan kegiatan pecah kenderaan dan curi wang zakat berjumlah RM22,000 di Kangar Jaya 1, Perlis, pada minggu lalu. UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Polis sedang memburu seorang lelaki warga asing dipercayai menjadi dalang kes pecah kenderaan dan kecurian wang zakat fitrah berjumlah RM22,000 dalam kejadian di Kangar Jaya 1, pada minggu lalu.

Lelaki berkenaan yang dikenali sebagai Akbar, 35, dipercayai masih bebas dan merupakan suspek utama kes itu.

Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop berkata, menerusi serbuan dilakuan pihaknya di hadapan sebuah kedai makan sekitar Prai, Pulau Pinang pada 6 April lepas, empat lelaki warga asing yang merupakan suspek kes itu telah ditahan dipercayai terlibat dengan kegiatan jenayah tersebut.

“Berikutan itu, polis masih meneruskan usaha mengesan seorang lagi suspek masih bebas dan orang awam yang mempunyai maklumat boleh menyalurkan terus ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kangar di talian 04-9082222 atau mana-mana balai berhampiran,” katanya dalam sidang akhbar di IPD Kangar, hari ini.

Dalam pada itu, mengulas lanjut mengenai kejadian tersebut, Yusharifuddin berkata, pada 5 April lepas, pihaknya telah menerima laporan berhubung kejadian itu daripada orang awam yang memaklumkan terdapat cermin kereta sebuah kenderaan milik seorang imam telah dipecahkan sehingga menyebabkan kehilangan wang zakat fitrah berjumlah RM22,000.

Ujarnya, hasil risikan dilakukan, pihaknya menggerakkan anggota bagi menahan empat suspek warga asing terlibat dan hasil soal siasat mendapati mereka mengaku terlibat dengan kegiatan itu.

“Modus operandi digunakan mereka adalah dengan membuat pemantauan di sekitar bank terlebih dahulu sebelum mengekori kenderaan mangsa.

“Senjata yang digunakan mereka bagi memecahkan cermin adalah merupakan sebatang besi panjang berukurkan lebih kurang 11 sentimeter,” katanya.

Dalam pada itu, Yusharifuddin berkata, keempat-empat suspek ditahan sebelum ini adalah berusia antara 37 sehingga 50 tahun malah polis turut bertindak merampas wang berjumlah RM3,466 yang merupakan sebahagian daripada hasil curi tersebut.

Katanya, selain itu, peralatan yang digunakan suspek semasa melakukan jenayah berkenaan turut dirampas bersama pakaian baharu yang dibeli menggunakan wang curi tersebut.

“Empat suspek ini telah ditahan reman sehingga esok.

“Polis turut menasihati orang awam yang ingin mengeluarkan wang dengan jumlah banyak di bank agar dapat pulang terus ke rumah dan tidak singgah di mana-mana bagi menggelakkan kejadian sebegini berulang,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.