AGAK susah hendak mencari contoh selebriti yang boleh dikatakan berjaya mengharungi hidup beristeri dua dengan mengamalkan poligami.
Kalau ada yang berjaya melalui perkahwinan kedua itu tidak ramai dan boleh dikira.
Tidak keterlaluan untuk mengangkat pelakon yang sentiasa manis dengan senyuman sebagai selebriti yang wajar dijadikan contoh dalam kehidupan berumah tangga.
Pejam celik sudah sepuluh tahun Ashraf Muslim, 41, berpoligami dan dikurniakan empat cahaya mata yang menyerikan lagi kehidupan mereka sekeluarga.
Kata pelakon drama bersiri Nenek Bongkok Tiga ini, kehidupan berpoligami itu sebenarnya sangat indah dan terpulang kepada seorang suami yang berperanan sebagai nakhoda kapal untuk memandu arah pelayaran bahtera rumah tangga.
“Suami perlu faham tanggungjawab masing-masing supaya orang luar tidak fikir negatif tentang poligami.
“Isteri-isteri saya banyak membantu dalam kehidupan. Mereka sentiasa sokong apa yang saya buat dan memudahkan kerja di rumah. Sokongan seperti ini amat saya perlukan.
“Mereka ibarat mutiara dan tunjang kekuatan buat saya. Tugas sebagai suami pula perlu membahagiakan mereka serta menjamin isteri-isteri dapat masuk syurga,” katanya kepada Pancaindera.
Masih terlalu awal untuk mengukur kejayaan poligami yang diamalkan oleh pelakon yang berasal dari Teluk Mas, Melaka ini. Katanya, ujian demi ujian pernah datang menghinggap bahtera pelayaran rumah tangganya.
Sesekali diuji, Ashraf bingkas bangkit dan mencari kekuatan dengan bersandarkan pengharapan tinggi pada Allah Maha Esa.
“Nak kata berjaya dengan poligami ini belum lagi sebab macam-macam ujian pernah dilalui. Susah itu pun Allah bagi sebab nak kita bahagia dan belajar daripada pengalaman.
“Bila ada masalah kita kena sentiasa bersyukur. Banyak dugaan pernah saya lalui seperti masalah kewangan dan anak-anak. Apapun kita perlu sedar tujuan hidup sebagai suami dan tanggungjawab yang digalas.
“Dengan pengaruh luar yang terlalu banyak, kita perlu sentiasa berkomunikasi dan tegur-menegur antara pasangan serta sentiasa berkongsi apa yang terbuku di hati,” kongsinya.
TIPS POLIGAMI

Berkongsi tips mengamalkan poligami, Ashraf berkata, dia kerap mempertemukan isteri pertama, Noor Dayana Lokman dan isteri kedua, Wan Sakinah Wan Saburi sekiranya mempunyai waktu senggang.
Katanya, bukan mudah memegang mandat sebagai nakhoda kapal kerana perlu mencari masa berkualiti sebagai ketua keluarga untuk mengeratkan silaturahim.
“Dalam seminggu atau dua minggu sekali kami akan duduk bersama, solat berjemaah, cerita masalah masing-masing serta saling mendengar antara satu sama lain.
“Perempuan ini tak boleh nak tinggal lama-lama, nanti mulalah dia fikir macam-macam. Jadi, saya akan bergilir-gilir dalam tiga hari dua malam antara rumah isteri pertama dan kedua,” katanya.
Anak sulung daripada tujuh beradik ini berkata, bercinta tidak semestinya memiliki dan memiliki tak semestinya bahagia.
Disebabkan itu, jelasnya, kebahagiaan akan hadir apabila kita bercinta dengan Allah SWT.
Katanya, poligami bukan sekadar menabur janji manis di bibir, tetapi individu perlu mencari ilmu serta mempunyai kefahaman tinggi untuk berkahwin lain.
“Kenapa perlu kahwin lagi? Bagaimana cara hendak menempuh cabaran? Itu semua persoalan yang perlu dijawab.
“Bila kita sudah melangkah ke arah poligami, kita pasti akan faham kesannya lebih-lebih lagi melibatkan golongan selebriti,” katanya.
Sebagai selebriti, kata Ashraf, mereka tidak boleh mengelak pertanyaan ramai sekiranya memilih poligami sebagai pilihan hidup.
“Kalau selebriti sudah tentu orang ramai akan cari mereka. Jadi kena bersedia supaya tidak menjejaskan individu yang mengamalkan perkara tersebut.
“Kebanyakan saya kenal ramai yang elok dan rumah tangga mereka baik-baik sahaja. Cerita mereka lagi hebat dan seronok untuk didengar, tetapi masyarakat selalu cari yang negatif tentang poligami,” katanya.
‘BERTUHANKAN’ MEDIA SOSIAL

Ashraf yang pernah membintangi drama Ustaz Amirul turut memberi pesanan kepada masyarakat agar tidak terlalu mudah menghukum selebriti yang sedang melalui kemelut rumah tangga.
Jelasnya, setiap komen atau teguran perlu dilakukan secara berhemah kerana bimbang apa yang ditulis akan terpalit kepada keluarga sendiri.
“Nak cakap atau tegur pun perlu beradab. Jangan jadi netizen yang mudah menghukum kerana bimbang akan memberi kesan kepada diri kita.
“Katakanlah, kita tulis yang bukan-bukan terhadap selebriti itu, namun akhirnya mereka bersatu dan bahagia semula. Bimbang nanti kita pula yang diuji,” katanya.
Dalam masa sama, Pelakon Lelaki Terbaik Anugerah Telenovela 2017 ini berkata, golongan selebriti juga perlu bijak menyelesaikan masalah rumah tangga mereka dan tidak berkongsi sebarang status peribadi di media sosial.
Situasi yang berlaku hari ini, katanya, menunjukkan ramai yang ‘beriman’ dengan media sosial berbanding dengan Tuhan sendiri.
“Kita bimbang niat nak tunjuk kebaikan akhirnya mendedahkan keaiban. Perlu hati-hati apa yang ditulis, disebut dan dikongsikan. Risau sebenarnya dengan pengaruh media sosial ini,” ujarnya.
BERGILIR SAMBUT RAYA

Sebagai ketua keluarga, Ashraf berkata, dia mengamalkan konsep penggiliran setiap kali sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Tidak timbul isu berkecil hati atau terasa hati kerana dia sudah melakukan perancangan rapi setiap tahun.
“Pulang beraya ikut giliran dan kesesuaian. Kalau tahun lepas, belah sana, tahun ini belah sini pula. Kena tukar-tukar. Selalunya kalau raya dalam tempoh seminggu semua tempat kami akan pergi seperti kampung saya, kampung isteri pertama dan kedua.
“Jadi, semua keluarga berpeluang raya bersama. Kami selalu pakai sedondon setiap tahun. Warna tahun ini belum rancang lagi, selalunya saat-saat akhir pasti ada,” kongsinya.










