PM: Masih ada pihak minta komisen

PM: Masih ada pihak minta komisen

Anwar Ibrahim bersalaman dengan warga JPM pada Majlis Perjumpaan Perdana Menteri bersama warga Jabatan Perdana Menteri di Dewan Puspanitapuri, Putrajaya semalam. – UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Perdana Mente­ri mengakui masih ada pihak yang meminta komisen semasa berurusan dengan kerajaan termasuk daripada pejabat beliau.

Dalam hal itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu semua pi­hak bekerjasama mem­ban­te­ras budaya tersebut dengan mengubah kepada kaedah ba­haru tata kelola yang lebih cekap dan bersih.

“Kita tidak boleh nafikan ma­sih ada. Saya pun dengar ka­­dang-kadang dia kata orang minta komisen dari pejabat sa­ya, pejabat menteri dan pegawai.

“Kaedah cekap dan bersih perlu ada dalam setiap urusan bagi menarik serta menambah keyakinan pelabur terhadap negara ini.

“Untuk membersihkan budaya lama itu memerlukan ma­sa. Jadi saya minta kerjasama saudara saudari (penjawat awam), kerana apabila imej itu baik ia menjadi mudah sekali (keyakinan pelabur),” katanya ketika berucap dalam majlis per­himpunan bulanan bersa­ma warga Jabatan Perdana Men­­teri, di sini semalam.

Anwar berkata, Malaysia te­rus menerima keyakinan ba­haru daripada pelabur luar untuk melaksanakan urusan perniagaan di negara ini apabila landskap politik berada pada keadaan stabil.

Beliau menjelaskan, keyakinan itu akan terus meningkat apabila kemudahan berniaga sentiasa jelas selain ada ketetapan tepat behubung kaedah baharu yang lebih cekap dan bersih.

Ini termasuk kejayaan luar biasa lawatan rasmi ke China dengan menyifatkan ia hasil usaha berterusan dan semangat berpasukan rentas kementerian yang dilaksanakan dengan baik.

“Presiden dan Perdana Menteri China melayani luar biasa, saya terkesan juga dari segi perbincangan hati ke hati dan menghormati pendirian kita bukan saja meneliti tentang beberapa inisiatif baharu tentang pembangunan, keselamatan dan peradaban atau tamadun.

“Perbincangan itu bukan sahaja dalam bahasa diplomasi biasa, ini kerana ia bukan atas dasar seorang Perdana Menteri, tetapi (sebagai) pasukan, pimpinan dan penjawat awam, menyusun acara, mendapatkan hampir 50 syarikat gergasi terbesar ini boleh hadir.

“Mereka sebelum ini belum pernah menyatakan satu minat dan kesediaan berbincang dan berunding kerana ada usaha dibuat (pegawai kerajaan) berbincang dan menemui mereka sebelum acara itu,” katanya.

Lawatan Perdana Menteri ke China baru-baru ini membuahkan hasil apabila Malaysia meraih komitmen pelaburan tertinggi dalam sejarah berjumlah RM170 bilion daripada pelabur China hasil 19 memorandum persefahaman (MoU) yang dimeterai antara syarikat Malaysia dengan China, di Beijing.

Pencapaian berkenaan diumumkan beliau di hadapan ribuan pelabur dan ahli perniagaan pada Forum Perniagaan Malaysia-China 2023.

Dalam perkembangan sama, Anwar mengusulkan kepada syarikat-syarikat terkemuka dari China mengutamakan orang tempatan yang mempunyai kelayakan sebagai pekerja.

“Kalau dikenal pasti tidak ada tenaga cukup, maka kita akan luluskan segera dengan syarat dia buktikan ada usaha mengambil anak-anak tempatan.

“Jika tidak ada yang berkelayakan, mereka perlu wujudkan pasukan pelatih iaitu memberi latihan kepada anak tempatan kerana ia merupakan pelaburan puluhan bilion seperti minyak dan gas, bidang farmaseutikal selain Geely-Proton.

“Jadi dalam perbincangan saya dengan mereka dan syarikat tempatan Proton dipersetujui diadakan program latihan khusus bagi menentukan dipilih dari anak-anak tempatan dengan unjuran satu ke dua tahun sebelum membuka ruang kepada pegawai profesional dari China jika tidak ada yang layak,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN