PM arah kastam kemuka laporan penuh penyeludupan dadah ke Australia

PM arah kastam kemuka laporan penuh penyeludupan dadah ke Australia

ANWAR Ibrahim ketika berucap pada Majlis Penerapan Nilai-Nilai Murni dan Iftar Kementerian Dalam Negeri di SLAK, Sungai Petani. -UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Perdana Menteri mengarahkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mengemukakan laporan penuh berkaitan rampasan heroin yang dilaporkan dibawa masuk menerusi kontena dari Malaysia ke Brisbane, Australia.

Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu laporan bagaimana perkara itu berlaku dihantar kepadanya dalam tempoh dua minggu selain meminta Polis Diraja Malaysia (PDRM) membantu melakukan siasatan. 

“Saya baca baru-baru ini tentang bagaimana penyeludupan besar dadah ke Australia yang mengaibkan kalau dibuktikan sah kerana penyeludupan besar-besaran itu dari Pelabuhan Klang.

“Soalnya bagaimana dalam sistem yang canggih sekarang boleh bolos begitu besar jumlah penyeludupan dadah dari Pelabuhan Klang.

“Saya sudah minta pihak kastam yang bertanggungjawab beri laporan penuh tentang punca, apa yang berlaku, bagaimana sudah 12 hingga 16 kali hal demikian berlaku sehingga ditangkap di Australia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penerapan Nilai-Nilai Murni dan Iftar Kementerian Dalam Negeri di Sekolah Latihan Asas Kepolisan (SLAK) Sungai Petani, hari ini.

Yang turut hadir, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani.

Isnin lalu, PDRM mengesahkan pihak berkuasa Australia berjaya merampas dadah heroin seberat 336 kilogram yang dibawa masuk menerusi kontena dari Malaysia ke Brisbane pada 13 Mac lalu.

Dadah terbabit dianggarkan bernilai RM789.56 juta yang ditemukan ditanam dalam dua blok konkrit dalam kontena terbabit. Kontena itu didaftarkan membawa perkakas solat dialamatkan di sebuah pusat industri di Brendale, utara Brisbane.

Menurut Perdana Menteri, penyeludupan yang berlaku itu bukan perkara kecil kerana ianya menunjukkan kelemahan negara yang mesti diatasi untuk memastikan aktiviti penyeludupan dapat dihalang.

“Bukan soal ratusan juta orang tetapi ia menunjukkan kelemahan sistem kita dalam keadaan kita membicarakan soal tata kelola, pengurusan kerajaan baik, menentang rasuah dan salah guna kuasa tetapi hal ini masih berlaku,” katanya.

Oleh yang demikian kata Anwar, semua pihak tidak seharusnya bertolak ansur dalam hal itu dan perlu mengambil tindakan lebih keras terhadap penjenayah-penjenayah terlibat. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN