Perdagangan borong dan runcit Malaysia rekod jualan RM174.8 bilion pada April - Utusan Malaysia

Perdagangan borong dan runcit Malaysia rekod jualan RM174.8 bilion pada April

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jumlah jualan perdagangan borong dan runcit Malaysia merekodkan pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 15.3 peratus dengan nilai RM174.8 bilion manakala indeks volum meningkat kepada 6.2 peratus berbanding April 2025, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir berkata, prestasi jualan tersebut didorong oleh pertumbuhan positif merentas sektor dengan perdagangan borong merekodkan jumlah sebanyak RM83.5 bilion manakala perdagangan runcit pula mencatatkan jumlah jualan sebanyak RM71 bilion.

Ujarnya, subsektor kenderaan bermotor pula merekodkan jumlah jualan sebanyak RM20.4 bilion iaitu peningkatan sebanyak 15.5 peratus berbanding April 2025.

“Pertumbuhan subsektor perdagangan borong dipacu oleh kumpulan lain-lain pengkhususan jualan borong yang merekodkan jumlah sebanyak RM37.4 bilion, diikuti oleh harga produk petroleum yang lebih tinggi yang dipengaruhi oleh gangguan bekalan global dan ketegangan geopolitik.

“Selaras dengan itu, pertumbuhan jualan borong sebanyak RM15.4 bilion didorong oleh peningkatan dalam sektor bahan binaan dan perkakasan, barangan isi rumah, manakala makanan, minuman, dan tembakau meningkat sebanyak 6.9 peratus, diikuti oleh bahan mentah pertanian dan haiwan hidup dengan jumlah RM6.8 bilion.

“Subsektor perdagangan runcit terus merekodkan prestasi yang kukuh pada April, dipacu oleh jualan runcit di kedai bukan pengkhususan yang meningkat 6.1 peratus kepada RM27.3 bilion dengan pertumbuhan ini disokong oleh prestasi berterusan di pasar raya besar, pasar mini, dan kedai serbaneka.

“Selain itu, jualan runcit di kedai pengkhususan yang didorong oleh permintaan yang lebih tinggi bagi pakaian, minyak wangi dan kosmetik serta ikan akuarium, haiwan peliharaan dan makanannya turut meningkat 6.8 peratus kepada RM15.0 bilion, diikuti oleh jualan runcit bahan api dan peralatan isi rumah masing-masing sebanyak 5.8 peratus dan 3.5 peratus,” katanya dalam kenyataan.

Selain itu, pertumbuhan subsektor kenderaan bermotor pada bulan tersebut disokong terutamanya oleh prestasi kukuh dalam jualan kenderaan bermotor, yang meningkat 18.1 peratus kepada RM10.3 bilion.

Kumpulan lain dalam subsektor ini terus mencatatkan pertumbuhan positif termasuk jualan alat ganti dan aksesori kenderaan bermotor jualan dengan 9.2 peratus, penyelenggaraan dan pembaikan motosikal dengan 38.7 peratus serta penyelenggaraan dan pembaikan kenderaan bermotor sebanyak 9.9 peratus.

Sektor digital juga merekodkan pertumbuhan 7.1 peratus dalam jualan runcit dalam talian serta pengukuhan ketara dalam aktiviti pembayaran digital, termasuk transaksi kad, FPX, JomPAY, dan RPP yang melonjak 29.9 peratus kepada RM360.7 bilion. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN